“Takdir tertulis buatnya… Tujuh tahun anak kaku atas katil

Besar harapan seorang ibu tunggal untuk melihat zuriatnya membesar dengan sempurna dan berjaya, namun takdir tertulis buatnya apabila anak sulungnya koma akibat kemalangan jalan raya tujuh tahun lalu.

Kejadian menimpa Mohd. Zaki Hanapi, 23, ketika dia menyertai konvoi bersama rakan-rakannya ke Gunung Berlumut sewaktu berusia 16 tahun.

Shapidah Sahed, 49, berkata, motosikal ditunggang anak sulung daripada dua beradik itu terbabas menyebabkan Mohd. Zaki parah di badan dan kepala.

“Sehingga kini, anak saya terlantar koma atas katil. Selepas tujuh tahun terbaring, dia tidak menunjukkan sebarang tanda untuk pulih. Saya reda dengan takdir Allah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Orked di sini baru-baru ini.

Menurut Shapidah, disebabkan keadaannya anaknya itu, dia memerlukan sekurang-kurang­nya RM1,100 sebulan untuk membeli susu khas, lampin pakai buang dan keperluan perubatan.

Wanita itu bersyukur kerana mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Negeri Johor berjumlah RM1,000.

Namun, Shapidah berkata, jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung per­belanjaan anaknya menyebabkan dia mengambil inisiatif menjual kuih sejuk beku.

“Anak bongsu saya bekerja sebagai penghantar makanan, jadi upah yang diterimanya dapat membantu walaupun kadang kala kami terpaksa mengikat perut,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Shapidah boleh menghubungi wanita itu di talian 011-5172 8056 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 151061131296.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*