‘Tak tahu anak bawa motosikal’ – Itu alasan paling popular diberikan ibu bapa apabila anak mereka ditahan pihak berkuasa kerana menunggang motosikal tanpa lesen.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Jazmanie Shafawi, yang turut mengesahkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu tertinggi dicatatkan sepanjang Operasi Khas Motosikal yang dijalankan sejak 1 November lalu.
Malah, beliau berkata sejumlah 319 penunggang motosikal bawah umur ditahan sepanjang operasi khas itu atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu.
“Ibu bapa sewajarnya memastikan anak masing-masing menggunakan kenderaan dengan kaedah yang betul, termasuk mempunyai lesen memandu dan cukai jalan sah serta perlindungan insurans.
“Mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 tindakan boleh diambil terhadap pemilik kenderaan yang dipandu seseorang yang tidak mempunyai lesen memandu sah.
“JPJ juga boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang membenarkan remaja bawah umur memandu kenderaan motor tanpa lesen sah di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
“Justeru, ibu bapa perlu mengambil berat dengan memantau pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak menunggang motosikal tanpa lesen memandu dan cukai jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penutup Operasi Khas Motosikal di Plaza Tol Awan Besar di sini, semalam.
Dalam pada itu, Jazmanie berkata sepanjang operasi itu, sejumlah 134,718 notis dikeluarkan terhadap penunggang, selain sitaan melibatkan 3,668 motosikal terdiri pelbagai kesalahan.
“Operasi sama turut menyaring 561 penunggang motosikal dan mendapati 66 daripadanya positif dadah,” katanya.
Baca juga :
Leave a Reply