“Saya ingatkan dapat hidup sekejap saja kemudian pergi… Pemandu e-hailing cerita pengalaman insiden pokok tumbang

“Saya ingatkan dapat hidup sekejap saja kemudian pergi… (meninggal dunia) tapi kuasa Tuhan dan dengan izinNya, saya dapat bernafas sampai ke hari ini.”

Begitu reaksi pemandu e-hailing, Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli, 26, atau mesra disapa Hayyi ketika menceritakan semula pengalamannya yang mendapat peluang kedua hidup selepas terselamat dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Kisah Hayyi kembali mendapat perhatian warganet selepas memuat naik rakaman kamera papan pemuka di akaun TikTok, miliknya semalam.

Rakaman itu menunjukkan detik sebelum kejadian dan selepas pokok tumbang dengan kedengaran suara Hayyi tidak henti berzikir walaupun dalam kesakitan.

Menceritakan pengalamannya, Hayyi berkata, dia dalam perjalanan dari Damansara Utama, Selangor untuk membawa seorang penumpang wanita warga asing ke sebuah lokasi di ibu negara.

Menurut Hayyi, dia memandu seperti biasa sebelum melihat pokok besar tumbang kemudian menghempap Perodua Bezza dipandunya.

“Selesai solat Zohor pada hari kejadian, saya sambung kerja macam biasa dan ambil penumpang untuk hantar ke lokasi dipesan.

“Saya pandu kereta macam biasa cuma hujan memang lebat dan jalan sesak, jadi bila nampak pokok di depan nak tumbang, saya tak dapat lari ke mana kerana nampak lampu isyarat di depan pun masih merah.

“Saya pasrah saja waktu itu dan serah bulat-bulat kepada Allah SWT. Kiranya apa nak jadi, jadilah… saya tak boleh buat apa.

“Tapi keajaiban berlaku apabila saya selamat walaupun terhantuk di kepala dan senak pada bahagian dada akibat insiden berkenaan,” katanya.

Hayyi berkata, dia dalam keadaan sedar selepas kejadian sehingga dibawa menaiki ambulans dan selepas dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

“Manakala, penumpang saya bawa itu difahamkan lebih teruk keadaannya.

“Saya ditahan di wad selama satu malam saja sebelum dibenarkan pulang keesokannya.

“Syukur kerana Allah SWT panjangkan umur walaupun kalau fikir semula macam tak percaya dan tak logik apabila melihat keadaan kereta yang teruk hingga rosak sepenuhnya,” katanya.

Berhubung perkongsian di TIkTok, Hayyi berkata, niatnya sekadar berkongsi pengalaman berdasarkan rakaman kamera papan pemuka ketika kejadian.

“Daripada situ, orang boleh lihat sendiri dan jujurnya kecil hati juga pada awalnya kerana ada segelintir orang ingat saya yang meninggal dunia kerana lihat keadaan kereta.

“Tapi kemudian saya dapat terima kerana mungkin mereka tak tahu apa situasi sebenar. Ada juga yang tanya apa amalan dan apa boleh saya kongsi, saya amalkan selawat hampir tiga tahun.

“Selebihnya berdoa kepada Allah SWT supaya terhindar daripada musibah kerana kita hamba saja, tak ada hak pertikaikan kerana semua yang ada dia dunia ini milikNya.

“Terima kasih kepada semua yang doakan, saya hargainya sangat dan takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa meninggal dunia, semoga kuat dan ikhlaskan pemergian orang tersayang,” katanya.

Menurut Hayyi, buat masa ini, dia belum bekerja kerana tiada kereta untuk menawarkan perkhidmatan e-hailing.

“Termenung juga fikirkan macam mana nak dapat kereta baru dan memang sedih apabila kereta sebelum ini rosak sepenuhnya kerana tinggal berbaki dua tahun lagi nak habis bayar.

“Tapi saya doa Allah SWT gantikan dengan rezeki lebih baik dan setakat ini, saya tak serik memandu kereta cuma trauma apabila nampak pokok besar,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*