Tak puas hati cinta putus di tengah jalan, penganggur tikam teman wanita berjaya ditahan

Seorang lelaki ditahan selepas menikam bekas teman wanita gara-gara tidak berpuas hati cinta terputus di tengah jalan di pekarangan Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Daerah Ampang menahan suspek berusia 41 tahun yang juga penganggur itu sekitar pukul 5 petang.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing mendapati negatif dadah.

“Punca kejadian suspek menikam mangsa menggunakan senjata pisau adalah disebabkan mangsa mahu memutuskan hubungan percintaan.

“Suspek turut bertindak memancitkan tayar kereta milik mangsa dan memecahkan cermin hadapan kereta mangsa ketika mangsa berada di dalam kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Azam, suspek akan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita mengalami kecederaan selepas ditikam bekas kekasihnya dalam kejadian di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, di sini 6 Ogos lalu.

Mangsa yang berusia 45 tahun itu mengalami luka di bahagian tengah, kiri perut dan lengan kiri sebelum dibawa ambulans ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

Dilaporkan, mangsa baru mengenali suspek sejak tiga bulan lalu melalui media sosial.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*