Tak perduli rayuan PBB, Singapura kekal gantung Tangaraju Suppiah

Pihak berkuasa Singapura tidak mengendahkan rayuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan melaksanakan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang didapati bersalah bersubahat menyeludup masuk 1 kilogram ganja, lapor laman berita Thaiger.

Tak perduli rayuan PBB, Singapura kekal gantung Tangaraju Suppiah
Tangaraju Suppiah

Tangaraju Suppiah, 46, menjalani hukuman gantung di Penjara Changi, kata Perkhidmatan Penjara Singapura. Ahli keluarganya menerima mayat dan sijil mati mati mendiang di penjara tersebut pagi semalam.

Tangaraju dijatuhi hukuman mati pada 2018 kerana bersubahat menyeludup lebih 1 kilogram ganja dari Malaysia ke Singapura pada 2015, demikian menurut kenyataan Biro Narkotik Pusat (CNB).

Di Singapura, hukuman mati dikenakan ke atas kesalahan menyeludup ganja meskipun hanya 500 gram.

Sebelum hukuman dijalankan, keluarga, rakan-rakan dan aktivis bahkan PBB meminta pihak berkuasa Singapura agar mempertimbangkan semula hukuman tersebut serta membuat rayuan belas kasihan.

Rayuan pada saat akhir yang dibuat oleh keluarga pemuda itu turut ditolak oleh mahkamah.

Kumpulan-kumpulan aktivis menegaskan bahawa aktiviti berkaitan ganja dibenarkan di negara serantau iaitu Thailand, di mana sesiapa sahaja yang berusia lebih 20 tahun boleh membeli 1 kilogram ganja secara bebas.

Pertubuhan Transformative Justice Collective berkata, adalah sesuatu yang tidak logik apabila seseorang itu dihukum mati atas kesalahan berkaitan dadah sedangkan bahan tersebut bebas digunakan, dijual dan diguna dalam bidang perubatan di negara lain dalam rantau sama.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*