“Tak fikir panjang…” Mahu untung berganda, akhirnya rugi RM 37,000

“Tak fikir panjang…” Mahu untung berganda, akhirnya rugi RM 37,000. Seorang lelaki warga emas di sini, kerugian RM 37,000 selepas ditipu sindiket yang menawarkan pakej pelaburan yang tidak wujud melalui aplikasi telegram.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia 65 tahun menerima mesej melalui aplikasi telegram daripada nombor yang tidak dikenali menawarkan dua jenis pelaburan pada 27 September lalu.

Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili

“Tanpa berfikir panjang mangsa bersetuju untuk menyertai pelaburan Syariah melalui pakej dengan modal RM7,000 yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak RM140,000.

“Sehari kemudian mangsa telah membuat pembayaran dengan modal pelaburan berjumlah RM7,000 ke akaun yang diberikan melalui mesin deposit tunai (CDM) di bank CIMB Kampung Datu, Sibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, teruja dengan keuntungan yang dijanjikan mangsa sekali lagi telah menambah modal pelaburan dengan membuat pembayaran sebanyak RM1,000 pada 19 Oktober lalu untuk menambah keuntungan sebanyak RM15,000.

“Tidak cukup dengan itu mangsa telah diminta membuat tiga kali pembayaran lagi sebanyak RM20,000, RM5,000 dan RM4,000 sehari kemudian kononnya untuk menebus hadiah pelaburan.

“Mangsa mula merasa curiga dengan pelaburan yang disertainya ini apabila sering kali diminta membuat pembayaran tetapi tidak pernah menerima keuntungan seperti yang dijanjikan,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkipli berkata, mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis pada Sabtu lalu selepas menyedari dirinya ditipu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan skim pelaburan yang yang menjanjikan pulangan keuntungan yang tidak munasabah dan mencurigakan.

“Dalam usaha membanteras penipuan pelaburan, orang ramai mesti memberi perhatian dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan lumayan,” tegasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Turut baca :

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*