Syahir tolak debat, Rafizi lontar pantun ‘sembang kencang’

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman nampaknya mengambil keputusan untuk mengikut langkah ‘seniornya’ apabila memberitahu tidak akan berdebat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Walhal baru sahaja semalam, Syahir berkata beliau sedia menimbangkan untuk berdebat dengan Rafizi dan sedang menunggu surat jemputan disampaikan kepada pihaknya.

Namun hari ini, Syahir menerusi emel balas kepada Rafizi berkata, beliau mahu memfokuskan masa dan tenaga berbaki untuk bekerja dan berkhidmat bagi menyelesaikan segala permasalahan menanti.

Oleh itu, beliau putuskan mengikut jejak ‘senior’ dalam Pas iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Mengenai jemputan debat, saya sudah menerima emel daripada Pejabat Menteri Ekonomi, dan saya juga sudah memberikan jawapan.

“Dalam tempoh ini, saya menurut jejak ‘senior’ saya, iaitu YAB Sanusi,” katanya menerusi Facebook.

Rafizi Ramli kemudian memuat naik di Facebook, kandungan emel yang dihantar Syahir kepadanya.

Hantaran Rafizi itu diiringi pantun dua rangkap berbunyi:

“Nak ke bulan konon nak menang,

Perancangan rakyat tak keruan sembang kencang”.

“Dari mantan menteri ekonomi PN ke panglima PN ke ekonomis teknokrat paling cerdik PN – semua tidak berani bentang agenda ekonomi mereka,” ulas Rafizi.

Terdahulu Harapan Daily melaporkan, Rafizi mencabar Syahir untuk berdebat dengannya selepas tawaran debatnya buat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak disahut.

Rafizi menyifatkan Syahir antara pemimpin muda parti itu yang paling banyak “kondem di belakang”.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*