Susulan kenyataan berbaur fitnah, ulama PAS berdepan laporan polis

Pusat Media Pakatan Harapan (PH) akan membuat laporan polis terhadap bekas Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Zainul Asri Mohd Romli.

Laporan polis itu akan dibuat pukul 11 pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan kenyataan berbaur fitnah oleh ‘ulama Pas’ berkenaan.

Sejak kelmarin tular potongan akhir ucapan Zainul Asri dalam Himpunan Kedah Berselawat anjuran Pejabat Menteri Besar.

“Moga Allah SWT mempertahankan negeri ini daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh Allah SWT dan dimenangkan agama Allah SWT,” katanya diakhiri laungan takbir.

Sebelum itu, Zainul meminta agar hadirin membanyakkan solat hajat sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 28 Jun ini.

Kenyataan Zainul yang menyebut tentang ‘musuh-musuh Allah’ itu dilihat seolah-olah semua parti yang berebut kerusi DUN dengan Pas dalam PRN Kedah tidak lama lagi sebagai musuh Allah.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan PN menguasai 21 kerusi iaitu Pas (15) dan Bersatu enam kerusi.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) memiliki 11 kerusi (PKR-lima, AMANAH-empat, DAP-dua), manakala Barisan Nasional (BN) dan Pejuang masing-masing dua kerusi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*