Sumbat kucing dalam guni di Cheras: Apa sebenarnya berlaku?

Sumbat kucing dalam guni di Cheras: Apa sebenarnya berlaku?.  Polis sahkan menerima laporan berkait video tular sekumpulan individu menangkap dan memasukkan kucing ke dalam guni yang diikat di kawasan pangsapuri di Batu 9 Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan itu pukul 10.58 malam tadi.

“Rakaman kejadian itu tular di media sosial, menunjukkan sekumpulan lelaki menangkap beberapa ekor kucing sebelum memasukkannya ke dalam guni dan membawanya menaiki kenderaan.

“Perbuatan tersebut menimbulkan kebimbangan masyarakat kerana disyaki haiwan tersebut akan dibuang di lokasi yang tidak diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak polis juga menerima satu lagi laporan daripada wakil kumpulan lelaki berkenaan yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan penduduk pangsapuri berkenaan.

“Laporan tersebut menafikan dakwaan berlaku penganiayaan atau penderaan terhadap haiwan berkenaan.

“Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) turut dimaklumkan mengenai perkara itu dan sedang menjalankan siasatan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” ujarnya

Tegasnya, polis akan memastikan tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang.

“Mana-mana individu yang didapati melanggar peruntukan undang-undang termasuk Akta Kebajikan Haiwan 2015 boleh dikenakan tindakan tegas.

“Masyarakat perlu lebih peka terhadap kebajikan haiwan serta mematuhi undang-undang sedia ada,” tambahnya.

Terdahulu, video berdurasi 38 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki bertindak memasukkan beberapa ekor kucing ke dalam guni mendapat kecaman pengguna media sosial.

Kejadian itu difahamkan berlaku pukul 10 pagi hingga 3 petang semalam.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*