Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua rumah amal dan sekolah islam dibawah kawalan GISB Holding Sdn. Bhd. (GISBH) diarah tutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di negeri ini.
Baginda menegaskan, ini juga termasuk rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah.
Titah Sultan Sharafuddin, berdasarkan laporan diterima baginda kebanyakan daripada rumah amal GISBH yang terlibat dalam siasatan telah lama beroperasi di beberapa buah negeri di negara ini khususnya di Selangor tanpa pendaftaran.
“Beta berasa kesal dan kecewa kerana perkara ini telah berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menangani perkara ini.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam yang berkaitan dengan GISBH serta rangkaiannya sehingga menyebabkan perkara ini menjadi begitu serius dan tidak terkawal,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, telah memanggil mengadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ketua Polis Selangor dan anggota MAIS di dalam satu mesyuarat bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung perkara itu selain mengenal pasti langkah-langkah segera perlu diambil bagi menangani perkara ini.
Susulan mesyuarat itu, baginda menjelaskan telah menitahkan agar semua agensi agama Islam Selangor iaitu MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bekerjasama dalam menyiasat secara mendalam bagi memastikan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kesalahan jenayah ini diheret ke mahkamah dan didakwa.
Titah Sultan Sharafuddin, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor juga digesa untuk mengkaji dan meneliti bagi memutuskan persoalan berkaitan amalan GISBH sama ada ia menyeleweng atau bercanggah dengan ajaran agama Islam yang sebenar.
“Beta ingin memberi peringatan sekali lagi kepada semua pihak khususnya pihak berkuasa agama untuk memandang serius mengenai isu-isu yang berkaitan dengan tindak-tanduk kumpulan GISBH.
“Ini terutama apabila melibatkan kanak-kanak dan ajaran sesat yang disyaki diamalkan oleh mereka.
“Tindakan segera dan tegas tanpa sebarang kompromi perlu dilakukan di bawah undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama Islam,” titahnya.
Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin memaklumkan baginda tidak mahu kita hanya diumpamakan sebagai ‘tin kosong’ yakni hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya.
“Kita hendaklah berpegang kepada prinsip ‘walk the talk or putting your words into action’.
“Di samping itu, Beta juga menyeru agar semua agensi penguatkuasa agama dan pihak polis agar menjalankan penyiasatan dengan telus dan sentiasa memelihara integriti dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka,” titah baginda.
Turut baca :
Leave a Reply