Sulaiman letak jawatan Ketua Menteri Melaka

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Sulaiman telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu pada pertemuan di pejabatnya di Parlimen, pada Selasa.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk mempersembahkan nama calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu.

“Saya mengharapkan kebijaksanaan TYT (Tuan Yang Terutama) untuk menerima watikah yang akan saya kemukakan dan majlis angkat sumpah (Ketua Menteri baharu) akan mengikut kesesuaian tarikh TYT,” katanya pada sidang media di Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al Falah, Kampung Lebu di sini pada Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memaklumkan bila beliau akan menghadap Mohd Ali mahupun jumlah nama individu yang akan dikemukakan dalam senarai berkenaan.

Ditanya jika nama Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof akan disenaraikan, Ahmad Zahid menjawab: “Saya tidak boleh mengesahkan atau menafikan. Kita tunggu pengumuman daripada Kerajaan Negeri Melaka.”

Berhubung soalan jika pertukaran Ketua Menteri itu adalah sebahagian daripada perancangan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka seperti diumumkan beliau di negeri itu baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata ada kemungkinan ia akan berlaku.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*