BANGKOK – Seorang wanita di wilayah Nonthaburi menyerang jirannya kerana tidak berpuas hati dengan perbuatan mangsa yang sering menghembus asap rokok ke arah rumahnya, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Kannika, 32, memuat naik video dia menyerang Tuk, 64, di laman sosial semalam.
“Dia (Tuk) bersikap seolah-olah dia yang menjadi mangsa. Orang ramai mengecam saya kerana menyerang warga emas.
“Saya mempunyai kamera keselamatan di sekeliling rumah yang merakam perbuatan Tuk merokok dan menghembus asap ke rumah saya dengan sengaja.
“Dia sering bertindak begitu setiap kali saya berada di rumah,” kata Kannika dalam keterangan video itu.
Tambahnya, dia sudah lama bersabar dengan sikap Tuk dan semalam, kesabarannya sudah tiba di kemuncak.
“Saya bersabar selama lebih empat tahun, kini saya sudah tidak mampu bersabar lagi,” kata Kannika sambil menambah, dia mempunyai alahan terhadap asap rokok.
Setakat ini, tiada laporan polis dibuat mengenai kejadian itu.
Baca juga :
Leave a Reply