Subsidi bagi telur dan ayam akan diteruskan sehingga Jun ini dengan melibatkan kos sebanyak RM1.28 bilion, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
KPKM dalam satu kenyataan berkata, kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri mencapai kata sepakat untuk meneruskan penyediaan subsidi bagi telur ayam itu pada 17 Feb lepas.
Katanya, langkah itu diambil demi memastikan bekalan telur ayam dalam negara kekal stabil, sementara kajian mengenai mekanisme dan dasar penyaluran subsidi secara bersasar dapat dimuktamadkan dalam tempoh masa terdekat.
“Keperluan untuk membawa masuk telur ayam dari luar negara juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil.
“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar merupakan langkah sementara bagi memastikan bekalan dalam negara kekal stabil dan tidak terputus,” katanya.
KPKM berkata pihaknya sentiasa memantau keperluan bekalan telur ayam dalam pasaran dan terus berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam dalam negara stabil seperti sediakala.
Leave a Reply