‘Suami minta saya tunggu kepulangannya’ – Siti Rashidah

“Suami kata akan pulang lagi dua minggu dan minta saya menunggu kepulangannya,”. Demikian kata Siti Rashidah Sharif, 31, isteri kepada Muhammad Firdaus Abdull Fatah, 39, yang maut dalam kejadian letupan membabitkan sebuah kapal berhampiran pelantar minyak di perairan Bintulu pada malam semalam.

Menurut Siti Rashidah, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika berbual di atas talian sekitar pukul 9 malam semalam iaitu sekitar dua jam sebelum insiden itu berlaku.

“Saya telah dihubungi oleh rakan sekerjanya sekitar 12.30 tengah malam, memberitahu suami ditimpa kemalangan di tempat kerja dan dia berada dalam keadaan kritikal serta tidak sedarkan diri.

“Kemudian kami bergegas ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur sebelum dimaklumkan suami telah meninggal dunia ketika kami baru sampai di Ipoh.

“Dalam perbualan atas talian dia (suami) beritahu yang dia akan pulang sekitar dua minggu lagi dan biasanya kami akan melakukan aktiviti rekreasi bersama-sama,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi hari ini.

Kata Siti Rashidah yang reda atas ketentuan takdir ini, Muhammad Firdaus pergi ke sana sekitar pertengahan Jun lalu dan dijangka pulang bercuti pada pertengahan Ogos ini.

Ujarnya, dia dan Muhammad Firdaus yang merupakan anak ketujuh daripada sepuluh adik-beradik telah mendirikan rumah tangga selama 12 tahun dan belum dikurniakan zuriat.

“Saya telah dimaklumkan bahawa proses bedah siasat akan dilakukan pada pagi esok di Hospital Bintulu. Selepas urusan selesai, jenazahnya akan dibawa balik ke Bagan Serai dan terus disolatkan di Masjid Jamek Permaisuri Tuanku Hajah Haminah Matang Jelutong dan selepas itu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Jay,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu pada pukul sekitar 12.57 tengah malam tadi.

“Pasukan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu telah ke Jeti Pelabuhan Bintulu dan mendapati tiga orang mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Dua orang mangsa, Muhammad Firdaus dan George disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan yang hadir di lokasi manakala seorang lagi mangsa, Ahmad Zahid mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*