Suami isteri ‘berputih mata’, rugi RM120,000 terpedaya panggilan daripada ‘polis’. Pasangan suami isteri mengalami kerugian RM120,000 selepas mendakwa terpedaya dengan panggilan telefon diterima daripada individu yang menyamar sebagai anggota polis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan dibuat lelaki tempatan berusia 56 tahun itu semalam.
Katanya, polis itu yang mendakwa sebagai penguat kuasa Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) memperdaya mangsa dengan mengatakan akaun bank mereka terlibat dalam penipuan.
“Mangsa yang terperdaya dengan kata-kata itu telah melakukan 17 kali transaksi pembayaran melalui mesin deposit ke dalam tiga akaun bank berbeza pada Isnin lalu.
“Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan oleh pasangan suami isteri itu adalah RM120,000,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, mangsa diberitahu, bahawa pembayaran itu adalah bagi tujuan pengesahan audit kewangan, namun apabila semua transaksi sudah dibuat, nombor talian tersebut telah disekat.
Katanya, kedua-dua mangsa yang tidak bekerja itu menyedari mereka telah ditipu dan tampil membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE
Turut baca :
Leave a Reply