Suami bertindak kejam, pukul isteri sehingga maut dengan tukul besi

Seorang wanita maut dipercayai akibat dipukul dengan tukul oleh suaminya di kediaman mereka di Kampung Besol, Bukit Besi dekat sini kira-kira 8 pagi semalam.

Mangsa, Rubiah Sabtu, 41, disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan teruk di bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata kejadian dikatakan berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dengan suspek yang berusia 30-an sehingga membawa kepada tragedi berkenaan.

“Difahamkan berlaku perselisihan faham antara pasangan tersebut yang baru sahaja mendirikan rumah tangga tahun lepas.

“Suspek didakwa hilang kawalan akibat perselisihan faham dan bertindak di luar batasan. Suspek yang ketakutan kemudiannya keluar dari rumah dan memaklumkan perbuatannya kepada ahli keluarga yang tinggal berdekatan,” katanya di Dungun.

Baharudin berkata ahli keluarga suspek kemudiannya membuat laporan polis dan suspek telah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu adik tiri mangsa, Rozilan Yusof, 38, berkata dia amat terkejut apabila mengetahui berita itu kerana suspek seorang yang baik dan lemah lembut.

Dia berkata kali terakhir mangsa menghubunginya kira-kira pukul 1 pagi semalam kerana mahu meminjam kipas untuk bayinya yang kepanasan.

“Saya memang tak sangka kerana mereka berdua tidak ada masalah sebelum ini. Abang ipar pun seorang yang pendiam, baik dan selalu mengaji.

“Tetapi yang saya perasan kakak (mangsa) kelihatan sugul beberapa hari kebelakangan ini. Tak sangka sungguh dia akan pergi dengan cara begini,” katanya.

Menurutnya, mangsa memiliki lapan anak iaitu tujuh orang hasil perkahwinan terdahulu dan seorang bayi berusia enam bulan hasil perkahwinan dengan suspek.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*