SPRM peroleh hampir semula wang rasuah RM24 juta

SEORANG bekas CEO sebuah bank bergelar Datuk ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah RM24 juta di Mahkamah Majistret, Putrajaya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan semula hampir keseluruhan wang rasuah susulan penahanan beberapa individu berhubung habuan RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman lebih RM294 juta yang dibuat sebuah syarikat tempatan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, menurut sumber, ia diperoleh daripada hasil sitaan wang serta aset walaupun kegiatan tersebut berlaku kira-kira 10 tahun lalu.

Difahamkan, pihak SPRM telah membekukan sebanyak 22 akaun bank milik individu dan syarikat berjumlah kira-kira RM6.3 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes ini.

“Pasukan siasatan juga dikatakan telah berjaya mengesan wang milik suspek utama yang disimpan di negara jiran berjumlah kira-kira RM16.3 juta,” jelas sumber di sini semalam.

Sumber itu turut memberitahu, kesemua wang berjumlah RM22.6 juta telah dibekukan untuk tindakan selanjutnya dan operasi ini masih giat dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

Tambahnya, wang tersebut berjaya dikesan setelah pasukan siasatan melakukan analisa data menjejak aset.

Terdahulu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah bank yang bergelar Datuk ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek lelaki berusia lingkungan 50an itu merupakan suspek keempat yang ditahan selepas tiga individu termasuk seorang CEO wanita direman berkaitan kes sama pada 19 Julai lalu.

Majistret R.Prabakaran membenarkan suspek keempat tersebut direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 25 Julai setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam.

Di mahkamah sama, Majistret turut membenarkan suspek CEO wanita tersebut disambung reman selama tiga hari bermula hari ini, manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan wang jaminan RM15,000 setiap seorang.

Menurut sumber, bekas CEO lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di Ipoh semalam kira-kira pukul 4 petang.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan CEO wanita sebuah anak syarikat sebuah bank dipercayai menerima wang rasuah lebih RM24 juta dengan memindahkan wang yang diperoleh ke dalam akaunnya di luar negara.

Wang berkenaan diperolehnya daripada sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mana Ahli Lembaga Pengarah ketika itu merupakan salah seorang daripada dua lagi suspek yang ditahan.

Syarikat tempatan berkenaan diambil alih oleh Ahli Lembaga Pengarah itu melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) iaitu AASB yang dimilikinya.

Syarikat berkenaan kemudiannya membuat pinjaman berjumlah lebih RM294 juta daripada bank terlibat sebelum wang tersebut kemudian telah dipindahkan daripada syarikat proksi kepada sebuah syarikat pesisir di luar negara berjumlah RM 24 juta.

Hasil daripada semakan lanjut SPRM mendapati CEO berkenaan merupakan pemilik sebenar syarikat pesisir ini dan merupakan penandatangan yang sah bagi akaun bank milik syarikat pesisir tersebut.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*