SPRM ‘jejak’ aset penipuan saham di luar negara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melebarkan siasatan mengesan aset penipuan pelaburan di luar negara menerusi kerjasama dengan agensi dan penguat kuasa antarabangsa.

Agensi antarabangsa berkenaan termasuk Interpol, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan National Crime Agency (NCA) United Kingdom untuk menjejak aset penipuan pelaburan antabangsa.

SPRM dalam satu kenyataan, berkata pihaknya juga berusaha menjejak aset dan wang haram yang dipercayai berjumlah jutaan ringgit itu dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

“SPRM kini sedang giat menjejak aset dan wang hasil daripada kegiatan haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang berjaya dilumpuhkan dalam satu operasi besar-besaran digelar Op Tropicana pada Februari lalu.

“Usaha menjejak aset dan wang haram yang dipercayai berjumlah jutaan ringgit ini dijalankan dengan kolaborasi BNM dan badan-badan penguat kuasa antarabangsa termasuk Interpol, National Crime Agency (NCA – United Kingdom) dan FBI.

“Usaha ini adalah tindakan susulan setelah empat dalang utama sindiket ini yang terdiri daripada warga asing berjaya didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 16 Mac 2023 dan di Mahkamah Butterworth pada 17 Mac 2023 iaitu dalam tempoh tiga minggu selepas operasi berkenaan dilancarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, berhubung laporan bahawa lima bank utama sedang dipantau oleh SPRM yang terbabit dalam sindiket penipuan itu, siasatan kini lebih tertumpu kepada individu-individu terbabit dan bukan melibatkan institusi kewangan itu secara khusus.

SPRM berkata, mereka adalah segelintir golongan profesional termasuk pegawai bank, akauntan dan setiausaha syarikat yang bertindak membolehkan urusan sindiket haram beroperasi.

“SPRM akan terus bekerjasama rapat dengan BNM dan agensi penguat kuasa lain untuk memerangi sindiket penipuan antarabangsa ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lima bank utama di negara ini berada di bawah pemerhatian SPRM kerana dipercayai digunakan sindiket penipuan antarabangsa untuk melakukan transaksi pemindahan wang mangsa yang ditipu sehingga RM1 juta sehari.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 20 kakitangan bank terbabit termasuk juruaudit dan pegawai kaunter hadapan, dipercayai berperanan memudahkan sindiket membuka akaun.

Akaun-akaun ini kemudian digunakan oleh sindiket untuk mengutip wang tunai yang didepositkan oleh mangsa yang menjadi mangsa penipuan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*