SPRM geledah 2 lagi ‘safehouse’ temui RM321,000

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai, termasuk mata wang asing berjumlah RM321,000 ketika menggeledah dua lagi safe house di sekitar ibu negara, selepas serbuan pertama di sebuah pangsapuri didakwa milik seorang ahli politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pihaknya menemui SGD74,000 atau RM243,000 di sebuah rumah, manakala satu lagi lokasi menjumpai wang tunai kira-kira RM78,000.

“Ya, (rumah itu) ada di Kuala Lumpur, ada di sekitar Selangor. Penggeledahan pertama dibuat pada Sabtu malam dan seterusnya malam tadi, kita buat satu persatu selepas siasatan dan pengakuan.

Kita juga mendapat maklumat ada wang telah dibuat pelaburan di Singapura, namun saya tidak boleh dedahkan berapa jumlahnya dan siapa pemiliknya, katanya menurut Sinar Harian selepas Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah 2024 di Kota Kinabalu.

Semalam, SPRM dilaporkan menemui wang tunai berjumlah SGD1,529,000 atau RM5 juta di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur pada malam Sabtu, dipercayai lokasi menyimpan hasil suapan.

Menurut sumber, serbuan itu hasil penahanan seorang suspek yang mendedahkan wujud safe house untuk menyimpan wang rasuah seorang ahli politik berpengaruh. Katanya, premis terbabit disewa seorang ahli perniagaan.

Penemuan wang tunai itu susulan penahanan dua individu, termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berhubung siasatan rasuah konsesi perlombongan pasir.

Azam tidak menolak kemungkinan ada lagi penggeledahan selepas ini.

Rasanya akan ada lagi penemuan di ‘safe house’ lain, yang ini kita masih menjalankan siasatan dan risikan terhadap penyimpanan wang ini. Mungkin ada penyimpanan di bank lain, ini kita sedang siasat.

Ahli politik ternama akan dipanggil
Azam berkata, SPRM Akan memanggil ahli politik ternama dikaitkan dengan penggeledahan safe house itu untuk diambil keterangan.

Saya memang tidak akan menolak atau menafikan beliau akan dipanggil, tapi selepas kami atau pegawai penyiasat saya berpuas hati tentang beberapa lagi penemuan dokumen dan wang berkaitan.

Ditanya kaitan ahli politik itu dengan safe house berkenaan, beliau berkata, sudah tentu dia suspek terbabit aktiviti rasuah.

Menurutnya, kira-kira 15 saksi dipanggil SPRM setakat ini dan empat individu direman, termasuk seorang wanita.

“Individu direman sekarang ini yang ditangkap 10 Okt lalu dan direman sehingga 15 Okt, iaitu seorang pengarah syarikat atau ahli perniagaan.

Ada seorang lagi pernah bertugas di MBI, iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun, tetapi kita hanya dapat menahan satu malam kerana dia mempunyai masalah kanser prostat.

Katanya, suspek ketiga ialah pemandu berumur 43 tahun yang direman tiga hari dan sudah dibebaskan, manakala seorang bekas pegawai kewangan syarikat mendapat konsesi pasir itu, iaitu wanita berusia 46 tahun dibebaskan selepas direman tiga hari.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*