SPRM belum boleh dedah hasil siasatan 4 bekas pegawai Ismail Sabri, kes masih di peringkat awal

Siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan perdana menteri ke-9 Ismail Sabri Yaakob masih di peringkat awal, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Susulan siasatan itu juga, SPRM belum boleh mendedahkan hasil penemuan berhubung kes termasuk nilai wang atau aset yang dijumpai dan tidak menolak kemungkinan ada beberapa saksi lain dipanggil bagi membantu siasatan.

“Untuk makluman, siasatan terhadap keempat-empat suspek dijalankan bawah Seksyen 16a Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) masih di peringkat awal.

“Justeru, SPRM meminta orang ramai untuk memberi ruang kepada suruhanjaya ini menjalankan siasatan secara adil, telus dan profesional,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, media melaporkan empat pegawai terbabit direman tiga ke lima hari susulan penahanan SPRM.

Sumber berkata, perintah reman dikeluarkan Mahkamah Putrajaya untuk lima hari bermula Jumaat lalu untuk tiga individu, manakala seorang lagi direman tiga hari dan dibebaskan semalam.

Sementara itu, SPRM berkata pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini kepada masyarakat mengenai siasatan dijalankan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*