“Songlap wang bernilai RM100 juta…” 3 lagi dicekup berkait seleweng dana Penjana Kerjaya

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lelaki, masing-masing satu di Johor dan dua di Pulau Pinang, semalam, bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Menurut sumber, suspek di Johor merupakan ketua kerani kanan berusia 41 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan, ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira 7.45 malam ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Sumber itu berkata, suspek dipercayai menerima wang berjumlah RM5,000 daripada salah seorang pemilik syarikat, sebagai balasan untuk membantu syarikatnya dalam urusan tuntutan bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja.

Dua lagi suspek yang berusia 40 dan 26 tahun ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang masing-masing pada 6.50 petang dan 7.25 malam ketika hadir memberi keterangan.

Mereka ditahan kerana membuat tuntutan palsu berhubung bayaran insentif pengambilan pekerja dan latihan daripada Perkeso bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Mereka dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butiran palsu secara dalam talian, bagi menuntut bayaran insentif pengambilan pekerja dan latihan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana),” katanya.

Turut baca

Menurut sumber, ketua kerani terbabit telah direman tiga hari bermula hari ini hingga 17 Julai dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, manakala dua lagi suspek direman selama enam hari mulai hari ini sehingga 20 Julai dan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam tempoh terdekat.

SPRM sebelum ini telah menahan reman seramai 37 individu bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya di beberapa negeri menerusi Op Hire yang bermula Rabu lalu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*