Solusi tangani kos sara hidup bakal dilaksana Januari 2023

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Ekonomi sedang memperinci beberapa langkah penyelesaian pantas dalam menangani isu kos sara hidup termasuk pelan tindakan kerjasama rentas kementerian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub, berkata kedua-dua kementerian bersetuju mewujudkan sekretariat bersama yang akan menjadi platform di peringkat pegawai untuk membincangkan peranan pelbagai agensi dalam menangani kos sara hidup.

“Beberapa prosedur pelaksanaan dasar juga sedang dikemas kini dan dijangka dilaksanakan bermula penghujung Januari tahun hadapan,” menurutnya dalam kenyataan bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited membantu rakyat menangani isu itu namun setiap langkah yang diambil perlu dipastikan tidak menjejas kedudukan ekosistem perniagaan dan industri yang masih dalam tempoh pemulihan pasca pandemik Covid-19.

Rafizi pula berkata usaha mengawal inflasi dan kos sara hidup memerlukan kerjasama semua pihak yang berkaitan dalam rantaian nilai termasuk kerajaan, pengeluar, peniaga serta rakyat kerana isu itu bukan hanya mengenai harga murah tetapi juga harga yang adil kepada pengeluar, peniaga dan pengguna.

“Kerajaan berharap usaha berkenaan akan memudahkan pengurusan kos dan seterusnya memastikan segala penjimatan dapat dialirkan kepada pengguna, seterusnya meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata orang ramai disaran memperkukuh peranan mereka sebagai pengguna bijak dengan memfokus kepada empat langkah iaitu merancang perbelanjaan dan menyesuai kecenderungan jika terdapat barang pengganti kepada barang yang telah meningkat harganya.

Katanya pengguna juga perlu sentiasa membuat perbandingan harga menerusi aplikasi Price Catcher dan membeli dalam kuantiti yang diperlukan serta tidak mengamalkan pembelian panik.

Menurut kenyataan itu, kerajaan telahpun mengambil beberapa tindakan jangka panjang dan pendek dalam menangani isu kos sara hidup antaranya mengekalkan tarif elektrik bagi pengguna domestik, komersial dan industri selain kawalan harga dan subsidi ayam standard serta telur Gred A, B dan C hingga suatu tempoh ditetapkan.

Katanya kerajaan turut memutuskan untuk mengimport telur bagi sehingga bekalan daripada pengeluar tempatan kembali pulih dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pula akan menyalurkan peruntukan RM60 juta kepada pesawah, masing-masing RM10 juta bagi 2022 dan RM50 juta pada 2023.

Selain itu, kerajaan sedang memperinci pelaksanaan Harga 2 Peringkat bagi minyak sawit mentah supaya harga minyak masak tulen kemasan botol di pasaran domestik dijual pada harga lebih rendah bagi mengurangkan tekanan terhadap permintaan dan penggunaan minyak masak bersubsidi polibeg sekilogram.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*