Soalan maut, netizen, ibu bapa sekolahkan Cikgu Fadli Salleh

Mungkin niat seorang guru membuat teguran berhubung satu topik dalam subjek Matematik ada baiknya kerana merasakan tidak wajar untuk murid Tahun 3 menjawab.

Namun, teguran itu mendapat kritikan keras netizen yang menyifatkan pemilik akaun Facebook bernama Cikgu Fadli Salleh sebagai guru tidak proaktif dan gagal mencambahkan fikiran murid.

Dalam teguran itu, Cikgu Fadli Salleh mempersoalkan kepentingan topik atau soalan berkaitan tukaran mata wang asing dalam subjek Matematik Tahun 3.

Soalan maut, netizen, ibu bapa sekolahkan Cikgu Fadli Salleh
Soalan atau topik dalam subjek Matematik Tahun 3 yang menjadi persoalan bagi pemilik akaun Facebook Cikgu Fadli Salleh.

Menerusi gambar yang dikongsikan, murid diminta menukar Ringgit Malaysia dengan mata wang asing seperti mata wang negara Vietnam, Brunei, Singapura dan Myanmar.

“Sekolah merupakan pusat menimba ilmu untuk semua individu. Sebut sahaja mengenai sekolah, selain daripada guru, pasti daripada kita akan teringat senarai mata pelajaran yang diajar.

“Antara subjek paling mendapat perhatian adalah Matematik kerana ia merupakan subjek diminati segelintir individu, namun ada juga yang tidak menyukai subjek ini kerana kesukarannya.

“Seiring dengan peredaran zaman, kebanyakan silibus mata pelajaran masa kini dilihat banyak berubah antaranya subjek Matematik di peringkat sekolah rendah. Ini kerana tahap kesukaran dan silibus yang diajar lebih sukar berbanding zaman dahulu,” katanya.

Menurut Cikgu Fadli Salleh, melihat kepada soalan itu, bukan sahaja murid, pegawai bank pun tidak boleh jawab.

Katanya, sub topik berkaitan kadar mata wang yang bakal diajar dirasakan tidak bersesuaian dengan murid tahun tiga.

“Apa kepentingan topik ini untuk budak (murid) darjah 3? Tolong penggubal silibus ini senaraikan lima kelebihan budak sembilan tahun belajar topik ni.

“Ni kalau aku soal penggubal silibus berapa Kyat untuk RM1 pun pasti dia tak boleh jawab, melainkan dia google dahulu.

“Entah bila la silibus baru nak ganti ni. Melampau sangat silibus yang budak dok belajar la ni,” katanya.

Namun, melayari Facebooknya, banyak komen atau ulasan yang ditinggalkan netizen tidak bersetuju dengan teguran Cikgu Fadli Salleh sehingga ada yang menyatakan silibus itu okey sahaja dan lebih kepada pengetahuan am murid.

Netizen Avana Fatni Syukur berkata, perspektif beliau dengan Cikgu Fadli Salleh berbeza dan berharap guru dapat mendidik dengan lebih holistik demi ke arah kemajuan.

Reen Ezelda Ghazali pula berkata, soalan itu adalah peta bulatan, yang mana di luar bulatan itu ada dinyatakan sumber jawapan yang boleh didapati.

“Jadi, murid boleh cari jawapan sama ada (menerusi) guru, surat khabar, televisyen, buku teks atau internet. Cikgu sendiri dalam kelas boleh google dan tak salah pun cikgu bawa anak murid akses internet dalam makmal sekolah atau ke pusat sumber untuk cari jawapan,” katanya.

Beliau turut menawarkan diri untuk membantu Cikgu Fadli Salleh cara mengajar yang berkesan dan tidak fikir hal negatif sahaja.

Seorang ibu, Mariam Najib memberitahu, kadang-kadang buku latihan yang anaknya bawa balik dan minta ibu bapa ajar tidak difahaminya.

“Macam mana caranya? Kadang-kadang buku latihan anak bawa balik suruh mak ayah tolong ajar. Bukan semua mak ayah ada keupayaan ajar untuk fahamkan anak. Sudah tentu nak tahu nilai mata wang boleh google saja, tapi nak fahamkan anak darjah tiga tu macam mana? Mohon tunjuk ajar,” katanya.

Netizen Akhmar Ismail turut memberi pandangan peribadinya bahawa soalan itu memang mencabar untuk murid tahun tiga, tetapi beliau tidak menolak logiknya soalan sedemikian kerana yakin murid sekarang sangat cepat dan luas pemikiran pengetahuan mereka.

Cuma, katanya, daripada segi lakaran bulatan mata wang negara berkenaan, sebaiknya diletakkan juga gambar mata wang sebenar seperti RM1 supaya sekurang-kurangnya murid yang kurang intelek dapat menguasai ilmu tahu gambaran panggilan mata wang asing.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*