Skandal LCS : Setelah dicabar saman, ini respon Latiff

Skandal LCS : Setelah dicabar saman, ini respon Latiff.   Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad mendakwa Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mengelirukan orang ramai berkenaan apa yang dikatakan sebagai perkaitannya dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul Latiff berkata, percubaan itu dibuat dengan merujuk kepada laporan audit yang masih di peringkat draf.

Dia juga mendakwa laporan audit “sebenar” yang sudah ditandatangani firma audit tidak menyebut Zainab Mohd Salleh sebagai isteri keduanya.

Laporan yang dirujuk Rafizi juga mengandungi penafian oleh juru audit bahawa mereka bergantung kepada pernyataan lisan dan berdokumen oleh mereka yang terlibat dengan projek tetapi tidak dapat mengesahkan kebenaran dakwaan mereka, katanya lagi.

“Rafizi menggunakan laporan forensik oleh Alliance sedangkan dokumen tersebut hanya merupakan satu deraf yang tidak ditandatangani dan yang tidak dapat disahkan kandungannya.

“Rafizi bukan sahaja tidak jujur, malah dengan sengaja membuat fitnah apabila menyembunyikan fakta bahawa terdapat laporan forensik sebenar yang ditandatangani oleh Alliance yang secara jelas tidak menyebutkan bahawa Zainab ialah isteri kedua saya,” kata Abdul Latiff.

Laporan audit forensik itu diarahkan oleh lembaga Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dan disediakan Alliance, meliputi apa yang berlaku bermula 2011 sehingga akhir tahun kewangan 2014.

Ia merupakan satu daripada dua laporan audit LCS yang dinyahrahsiakan oleh kabinet.

Perlu dinyatakan bahawa salinan yang diberikan BHIC kepada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) – dengan dokumen itu dikongsikan di laman webnya – mengandungi penafian yang disebut Abdul Latiff.

Versi laporan itu menyatakan seorang individu yang bernama Abdul Latiff Ahmad adalah suami kepada Zainab Mohd Salleh, yang disebut dalam laporan itu sebagai didakwa menyelewengkan dana untuk projek tersebut.

Rafizi beberapa kali mengaitkannya dengan Abdul Latiff dan wanita yang didakwa sebagai isteri keduanya.

Hari ini, Abdul Latiff yang merupakan ahli parlimen Bersatu sekali lagi menafikan ada isteri mahupun bekas isteri bernama Zainab Mohd SAlleh.

‘Tiada peranan dalam kontrak LCS’

Abdul Latiff juga berkata dia menjadi timbalan menteri pertahanan pada 2009 hingga 2013, manakala kontrak LCS ditandatangani dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada 17 Julai 2014.

“Saya tidak memainkan sebarang peranan dalam kontrak LCS.

“Keluarga saya tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan atau pembekalan dengan Kementerian Pertahanan semasa saya menjadi timbalan menteri pertahanan.

“Saya berharap saudara Rafizi bersikap lebih jujur dalam berpolitik. Pembohongannya bukan saja menipu masyarakat tetapi juga menggugat keyakinan rakyat kepada pemerintah sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara bila mana penjelasan yang perlu dibuat mendedahkan rahsia aset pertahanan negara kepada pengetahuan umum.

“Andai kata Rafizi betul-betul yakin Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua saya, maka sila kemukakan bukti. Sebagai anggota kabinet, saya bersedia untuk disiasat bagi membuktikan kebenaran apa yang saya katakan,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata dia memandang serius penemuan dalam laporan audit forensik dan dakwaan terhadap Abdul Latiff.

“Bersatu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan ini sekiranya berasas.

“Seperti pandangan yang pernah saya lontarkan sebelum ini, kabinet wajar menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat skandal ini dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Skandal LCS : Setelah dicabar saman, ini respon Latiff

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*