Sita akaun : Bersatu dakwa SPRM hina mahkamah

Tindakan SPRM menyita akaun bank Bersatu semasa ia masih menjadi subjek pertikaian undang-undang sama dengan menghina mahkamah, kata parti itu dalam pemfailan mahkamah hari ini.

Dalam afidavitnya hari ini, setiausaha eksekutif Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya mendakwa penyitaan akaun itu adalah cubaan untuk mengganggu pentadbiran keadilan dengan menjadikan sebarang keputusan prosiding mahkamah yang sedang berjalan “akademik”.

“Penyitaan salah ini adalah satu percubaan untuk mengakibatkan apa-apa perintah yang akan dikeluarkan oleh Mahkamah yang Mulia ini terhadap pembekuan salah tersebut menjadi sia-sia sahaja.

Salah laku SPRM untuk campur tangan dalam pentadbiran atau dalam pelaksanaan keadilan yang sewajarnya adalah satu penghinaan mahkamah dan adalah wajar dan harus disemak oleh Mahkamah yang mulia ini,” katanya dalam dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Dokumen itu difailkan sebagai sebahagian daripada semakan kehakiman untuk mencabar langkah SPRM membekukan dua akaun bank Bersatu. Mahkamah dijangka menyampaikan keputusannya pada 17 Mei sama ada memberi kebenaran untuk semakan itu diteruskan atau tidak.

Dalam afidavitnya, Suhaimi berkata perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 12 Jan dan 13 Jan sepatutnya tamat selepas 90 hari pada April, namun Bersatu tidak dapat menjalankan sebarang transaksi melalui akaun tersebut pada 13 April apabila perintah itu sepatutnya tamat.

Parti itu hanya dimaklumkan melalui surat bertarikh 19 April dan kenyataan akhbar pada hari berikutnya bahawa akaun tersebut telah disita.

Namun, Suhaimi mendakwa parti itu tidak pernah menerima sebarang perintah penyitaan berhubung akaunnya, termasuk dalam surat SPRM pada 19 April.

“Kenyataan media SPRM adalah diragukan kerana pemakluman penyitaan tidak dibuat pada 11 April 2020. Sebaliknya hal ini hanya didedahkan dalam kenyataan media SPRM.

“Malah surat SPRM bertarikh 19 April 2023 juga tidak menyertakan perintah penyitaan tersebut yang kononnya dikeleluarkan pada 11 April 2023,” katanya sambil menambah ini menimbulkan persoalan mengenai kesahihan tindakan SPRM.

Sebelum ini, dilaporkan SPRM telah membekukan satu akaun Bersatu di CIMB Islamic Bank dan satu lagi di Ambank (M) Berhad.

Sumber di SPRM mendakwa baki dalam dua akaun itu berjumlah kira-kira RM40 juta.

Akaun tersebut dikatakan dibekukan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan atas dakwaan Bersatu menerima “sumbangan” daripada 10 kontraktor yang dipercayai berjumlah lebih RM300 juta secara keseluruhan.

Bersatu berhujah bahawa pembekuan akaun itu adalah sebahagian daripada konspirasi jahat kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi.

SPRM kemudian berkata ia telah menyita akaun berkenaan berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin kini didakwa atas tuduhan salah guna kuasa serta pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta. Dia telah minta dibicarakan terhadap pertuduhan itu pada 20 Mac.

Pengubahan wang haram itu didakwa dilakukan dengan menerima wang yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*