Singapura mohon maaf, Jocelyn Chia ‘bukan lagi rakyat Singapura’

Kerajaan Singapura memohon maaf atas keceloparan pelawak Jocelyn Chia yang menghina Malaysia dalam persembahannya.

Menegaskan Chia bukan lagi rakyat Singapura, Pesuruhjaya Tinggi Sungapura ke negara ini Vanu Gopala Menon berkata dia sendiri terkejut dengan komen yang tidak patut dilontarkan itu.

“Kerajaan Singapura tidak mengiktiraf kata-kata atau tindakan yang menyebabkan bahaya atau menyakiti orang lain, dan Chia, yang bukan lagi rakyat Singapura, tidak sama sekali mencerminkan pandangan kami.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas komennya yang menyinggung perasaan itu,” katanya.

Dalam persembahan di New York, Amerika Syarikat, Chia memperlekeh dan melontarkan carutan terhadap Malaysia atas dakwaan membiarkan Singapura keseorangan selepas pemergian British.

Bagaimanapun katanya, ketika Malaysia masih menjadi negara membangun, Singapura kini telah pun menjadi negara dunia pertama.

Malah, merujuk kepada tragedi MH370 pada 2014, dia juga mengkritik sistem penerbangan Malaysia yang pesawatnya “tidak mendarat”.

Melalui laman webnya, Chia memperkenalkan dirinya sebagai “peguam dari Singapura yang menjadi pelawak”. Dia terlibat dalam persembahan secara tetap di New York.

Dalam kenyataannya, Menon berkata sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia telah lama menikmati pelbagai hubungan erat.

“Kita juga memiliki hubungan sejarah yang unik dan hubungan antara individu yang rapat.

“Komen-komen seperti yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan malah merosakkan kepercayaan dan persahabatan yang erat yang dinikmati oleh kedua negara dan rakyatnya,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*