Sindiket tipu beli barang dalam talian, 23 warga Taiwan ditahan.
Polis menumpaskan sindiket penipuan belian barang dalam talian didalangi warga asing selepas menahan 23 warga Taiwan dalam serbuan di sebuah banglo mewah di kawasan Batu Ferringhi, dekat sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri menyerbu banglo mewah tiga tingkat itu, pada 6.30 petang, hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu.
“Semasa serbuan di banglo itu, berlaku kesukaran untuk pihak polis masuk ke rumah tersebut kerana ia dilengkapi dengan sistem keselamatan yang ketat dan kami mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum berjaya masuk ke premis tersebut.
“Terdapat seramai 17 lelaki dan enam wanita yang kesemuanya warga Taiwan berusia 19 hingga 48 tahun di dalam banglo itu dan berdasarkan siasatan awal mereka merupakan pekerja kepada sindiket tersebut dan masuk ke Malaysia secara sah bulan lepas,” katanya pada sidang akhbar.
Turut baca
- Remaja pukul ibu guna batu hingga mati
- {VIDEO} Wanita tergolek lepas dihempap buah kelapa jalani rawatan di HPP
- Tanpa sedar perbuatan mak ayah buat anak ‘stress’ ketika makan
Katanya, berdasarkan siasatan, sindiket itu beroperasi di rumah banglo tersebut sejak Mei lalu dan modus operandi mereka ialah mengiklankan barangan berjenama seperti beg tangan, pakaian dan jam tangan yang dijual secara dalam talian dengan harga murah kepada warga Taiwan.
Shuhaily berkata, mangsa yang terpedaya dengan iklan tersebut akan diarahkan untuk membuat pembayaran melalui platform daripada pautan diberikan sindiket, namun selepas pembayaran dibuat barangan tidak dihantar kepada pembeli.
Katanya, siasatan awal juga mendapati tiada akaun bank tempatan terlibat dalam urusan transaksi sindiket itu dan semua yang ditahan itu turut mendakwa mereka terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan diiklan sindiket menerusi media sosial di Taiwan iaitu bermula RM7,000 sebulan, namun hanya dibayar RM5,000 sahaja.
Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 46 telefon bimbit, 14 unit komputer riba, 12 keping kad prabayar, iPad (lapan unit), walkie talkie (enam unit), Wi-fi mudah alih dan Wi-fi router yang kesemuanya dipercayai digunakan bagi tujuan kegiatan penipuan tersebut.
Shuhaily berkata, semua warga Taiwan itu kini direman enam hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis telah merekodkan keterangan penganjur dan tujuh individu yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan haram turunkan harga barang di bulatan Seberang Jaya, di sini, pada 5 petang, Jumaat.
Katanya, berdasarkan siasatan seramai 30 orang menghadiri perhimpunan aman yang dijalankan tanpa permit polis yang berakhir kira-kira sejam.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan selesai. Tindakan kumpulan itu mengadakan perhimpunan di kawasan bulatan tersebut juga bukan sahaja berbahaya kepada mereka malah pengguna jalan lain kerana di situ selalu sesak dengan kenderaan,” katanya.
Leave a Reply