Sekurang-kurangnya tiga orang, termasuk seorang pegawai kanan, Jabatan Imigresen (JIM) dari Johor dan seorang ejen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap sindiket ‘fly’ berjumlah RM1.2 juta, menurut sumber.
Sindiket ‘fly’ ialah sindiket penipuan cop keluar-masuk pekerja asing tanpa memerlukan kehadiran warga asing secara fizikal.
Sumber daripada ibu pejabat imigresen di Putrajaya memberitahu Malaysiakini bahawa mereka ditahan pada Rabu minggu lalu dalam operasi SPRM yang dibantu oleh JIM.
Katanya, pegawai-pegawai JIM ditahan memberi keterangan di pejabat SPRM Johor di Johor Bahru.
Sementara “ejen” warga Malaysia itu pula ditahan di R&R Seremban, Negeri Sembilan.
Pegawai-pegawai JIM itu didakwa terlibat dalam amalan rasuah dan pengubahan wang haram dengan bersekongkol dengan ejen yang menguruskan pas warga asing untuk tinggal lebih lama.
Sumber bagaimanapun tidak pasti berapa lama mereka ditahan dan sama ada SPRM mendapat perintah reman.
Bekas orang kuat DK
Sementara itu, sumber mendakwa pegawai kanan JIM yang ditahan itu merupakan bekas orang kanan “DK” yang didakwa sebagai dalang utama sindiket melibatkan jabatan itu.
“Pegawai ini dulu orang rapat dengan ‘DK’.
“(Dia) didakwa terlibat dalam sindiket ‘fly’ atau ‘U-turn’ (pusingan U),” katanya.
DK merupakan warga tempatan dan ahli perniagaan dari Johor.
Malaysiakini pernah mendedahkan dakwaan DK dan ‘Tok Yah’ (pegawai kanan dalam sebuah agensi kerajaan) sebagai dua dalang utama yang masih bebas daripada sebarang tindakan.
Apa itu sindiket ‘fly’?
‘Fly’ adalah sindiket untuk ‘mencuci’ status tinggal lebih masa atau senarai hitam terhadap warga asing melalui penipuan cop keluar masuk.
“Ejen akan tunggu di satu tempat. Kemudian anggota JIM yang terlibat akan rancang bawa keluar satu cop pergi jumpa ejen di satu tempat.
“Kemudian mereka akan cop semua pasport yang dibawa oleh ejen dan diberikan wang dalam sampul sebagai balasan. Anggota akan balik dan ambil balasan bahagian masing-masing.
“Warga asing yang lebih masa tadi akan dapat cop masuk baru dan sah untuk 30 hari dan sekiranya ditahan dia tidak akan ditangkap kerana ada cop masuk yang sah,” kata sumber KDN kepada Malaysiakini.
Ops Selat 2020
Menurut sumber itu, hukuman yang ringan dan kegagalan menahan dalang utama antara punca sindiket ini berterusan.
Katanya, SPRM pernah melancarkan Ops Selat pada tahun 2020 bagi mengesan amalan rasuah daripada sindiket kepada pegawai JIM.
Dalam operasi antara 16 sehingga 30 November 2020 itu, seramai 66 individu ditahan terdiri daripada 39 pegawai JIM, 17 ejen dan 10 orang awam.
Nilai wang atau aset yang dilapor dilucut hak ketika itu berjumlah RM15.78 juta.
Pada 11 dan 14 Disember 2020 dua ejen sindiket mengaku bersalah bawah kesalahan Seksyen 214 Kanun Keseksaan secara berasingan.
Masing-masing dihukum denda RM10,000 dan penjara satu bulan, manakala wang berjumlah RM21,000 dilucut hak.
Pada 14 dan 16 Disember 2020, lapan pegawai JIM dituduh secara berasingan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Mahkamah Sesyen Butterworth, Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mahkamah Sesyen Melaka dan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Pegawai-pegawai itu mengaku bersalah bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan dihukum penjara antara 30 hari hingga 12 bulan serta denda antara RM2,000 sehingga RM40,000.
“Kamu lihat sendiri hukuman ke atas mereka.
“Hanya dikenakan denda RM2,000, RM10,000. Sudah pasti tidak setimpal dengan rasuah berpuluh juta diterima.
“Ini salah satu faktor utama sindiket ini tidak dapat dilumpuhkan,” kata sumber itu.
Katanya, selagi ‘ikan besar’ tidak ditangkap, selagi itu sindiket-sindiket ini tidak dapat dibanteras.
Baca juga :
Leave a Reply