Sindiket ‘counter setting’: Dua penguat kuasa termasuk dalang utama direman

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan telah menahan reman dua pegawai penguat kuasa termasuk suspek utama dipercayai bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

Perintah reman terhadap kedua suspek dikeluarkan Majistret Fairuz Syuhada Amran selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sivil Seremban, pagi tadi.

Fairuz Syuhada telah membenarkan suspek utama direman selama lima hari sehingga 23 September, manakala suspek kedua direman selama tujuh hari sehingga 25 September.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an dipercayai bersekongkol dengan ejen-ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan 2.

“Kedua-dua suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada pukul 3 pagi dan pukul 5.40 petang semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan.

“Mereka dipercayai menerima wang rasuah daripada ejen-ejen sindiket selain bertindak mengatur urusan laluan kaunter khas bagi melepaskan warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya di pintu masuk udara negara,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Tuan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang pegawai kanan lelaki imigresen yang disifatkan ‘berpengaruh’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi dalang utama kepada sindiket membawa warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

Lelaki berusia awal 40-an itu merupakan salah seorang daripada 50 penguat kuasa JIM yang ditahan SPRM ekoran membawa masuk pekerja asing melalui kaunter tertentu tanpa melalui pemeriksaan ditetapkan.

Kesemua mereka ditahan menerusi Op Pump, Op Setting dan Open Pump 2.0 hasil risikan yang dijalankan Bahagian Perisikan
SPRM selama enam bulan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*