Sindiket ‘counter setting’: 13 individu lagi ditahan termasuk 2 penguat kuasa

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seramai 13 individu termasuk dua penguat kuasa disyaki terlibat sindiket membawa masuk warga asing menerusi modus operandi ‘counter setting’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan dibawa ke pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.

“Dua suspek penguat kuasa tersebut disyaki terlibat dengan perbuatan itu sejak tahun 2016 dengan menerima bayaran rasuah antara RM300 sehingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang masuk mengikut kewarganegaraan.

“Turut ditahan adalah sembilan orang ejen dan dua proksi yang menjadi pemegang aset bagi pihak suspek penguat kuasa,” katanya.

Katanya, hasil serbuan juga turut menyita lebih kurang RM50,000 wang tunai.

“Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok bagi permohonan reman,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, susulan daripada siasatan SPRM menerusi Ops Pump yang dijalankan baru-baru ini mendapati, lebih kurang 46 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat sindiket membawa masuk warga asing tanpa mematuhi prosedur ditetapkan oleh Jabatan Imigresen (JIM).

Azam berkata, terdapat keterangan menunjukkan wujudnya pembayaran wang rasuah dan yang turut bersubahat dengan pihak ejen menyebabkan warga asing dapat memasuki negara dengan mudah sebagai pelancong dan kemudian hilang dan disyaki bekerja tanpa dokumen.

“Pasukan khas telah ditubuhkan untuk merakam percakapan pegawai-pegawai penguat kuasa yang disyaki bagi membantu siasatan dan tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan serta tangkapan lain dalam masa terdekat,” jelasnya.

Semalam, seorang warga Myanmar yang merupakan ejen sindiket telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Suspek didakwa membayar rasuah RM5,650 kepada penguat kuasa JIM sebagai upah melepaskan kemasukan sembilan orang warga Myanmar melalui pintu masuk KLIA2 tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

Terdahulu, SPRM menahan reman 12 individu termasuk lima penguat kuasa JIM dipercayai terlibat sindiket sama.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*