SEORANG pempengaruh berusia 27 tahun sanggup menjalani lebih 20 pembedahan kosmetik demi mendapatkan wajah yang diimpikan.
Wanita berkenaan, Airi Hirase berbelanja hampir RM718,248 (24 juta yen) bagi kesemua prosedur tersebut.
Hirase dari Jepun itu mengaitkan keputusannya itu berpunca daripada parut akibat menjadi mangsa penderaan semasa kecil.
Pempengaruh itu mendakwa, ibunya sentiasa mengkritik penampilan dirinya dengan menyamakan dengan wajah bapanya.
Tinggal bersama ibunya di Ibaraki, Hirase mula obses dengan idea untuk melakukan pembedahan plastik sebagai cara untuk melupakan masa lalu yang menyakitkan sejak berusia 15 tahun.
Dia menjalani prosedur pembedahan pertamanya pada usia 19 tahun dan membina pengikut yang besar di media sosial.
Berkongsi gambar sebelum dan selepas yang menonjolkan perubahannya, dia memaklumkan sudah menjalani sekurang-kurangnya 20 prosedur di bahagian wajah dan payudara.
Mempunyai seramai 1.1 juta pengikut di Instagram dan 300,000 di laman X, dia menjadikan pengalamannya sebagai kandungan yang menarik perhatian ramai.
Pempengaruh tersebut berkata, dia dibuli kerana penampilannya sewaktu kanak-kanaknya apabila rakan-rakannya memanggilnya hodoh dan mengatakan dirinya kelihatan seperti lelaki.
Keadaan itu membuatkan Hirase berasa rendah diri dan takut melihat cermin, malah memecahkan beberapa cermin ketika meluahkan kemarahannya.
Dia juga mendedahkan pernah cuba membunuh diri ketika di sekolah menengah, tetapi diselamatkan oleh seorang rakan yang ‘merasakan sesuatu tidak kena’ terhadapnya.
Menurut Hirase, dia bertekad untuk menjadi cantik pada usia 15 tahun dan mula melakukan kerja sambilan seperti membantu orang berpindah dan bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika berusia 16 tahun.
Dia meninggalkan rumah ibunya dan menyewa di sebuah bilik flat yang kecil dan lama. Hirase membuat dua kerja sambilan dan hanya tidur selama empat jam sehari.
Dia menyimpan kira-kira 10 juta yen (RM299,906) selama lapan tahun dan melaburkan wang tersebut dalam pembedahan kosmetik bagi mengubah wajahnya.
Wanita itu juga merancang untuk menjalani lebih banyak prosedur apabila pendapatannya semakin meningkat.
Hidupnya berubah secara drastik selepas menjalani pembedahan kosmetik.
Selain menjadi pempengaruh, Hirase muncul di pelbagai rancangan realiti TV dan majalah fesyen.
Walaupun berpuas hati dengan penampilan baharu, dia mengakui masih bergelut dengan keyakinan diri.
Hirase berkata, dia tidak akan menjalani pembedahan kosmetik jika dia tidak mengalami penderaan sewaktu kecil.
“Saya tidak akan bertindak seperti ibu saya. Saya akan memberikan anak-anak saya banyak kasih sayang dan perhatian,” katanya.
Sebagai peringatan, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sebarang bentuk pembedahan yang membawa kepada perubahan kepada anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh syarak.
Bagaimanapun, hukum haram itu boleh bertukar menjadi harus kepada dua sebab iaitu untuk tujuan mengubat dan menghilangkan sesuatu yang memudaratkan serta membuang keaiban. -SCMP
Turut baca :
Leave a Reply