Serbuan rumah Hamzah: ‘Itu urusan LHDN, saya tak dimaklumkan’ – PM

Isu penggeledahan ke atas rumah Setiausaha Bersatu, Hamzah Zainudin, Selasa lalu oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), adalah urusan agensi itu selaku badan penyiasat, kata Anwar Ibrahim.

Sambil menjelaskan, dia tidak dimaklumkan, perdana menteri berkata, dia menyerahkan urusan itu kepada LHDN dan badan penyiasat untuk melakukan siasatan lanjut.

“Itu urusan LHDN dan badan penyiasat, saya tidak dimaklumkan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, di Cyberjaya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan LHDN menyerbu kediaman Hamzah pada pagi Selasa lalu susulan terdapat beberapa cukai yang tidak dilaporkan.

Mengulas tindakan itu, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah mendakwa ia adalah tindakan terdesak kerajaan.

Dia turut mendakwa langkah tersebut hanyalah strategi politik murahan bagi memburukkan pimpinan kanan dalam parti itu.

Media melaporkan, dalam serbuan dan penggeledahan itu, beberapa dokumen turut dirampas.

Pada Feb lalu Hamzah yang juga adalah ahli parlimen Larut menuduh kerajaan menggunakan SPRM sebagai alat politik selepas agensi itu membekukan akaun Bersatu.

Dia kemudian menafikan tersebut dengan kes rasuah berjumlah RM15 juta selepas namanya terdapat dalam kertas pertuduhan terhadap ahli perniagaan, Sim Choo Thiam.

Sim didakwa pada Mei lalu atas tuduhan meminta suapan RM15 juta daripada seorang ahli perniagaan Hep Kim Hong, pada Jun 2021.

Pendakwa raya berkata wang itu sebagai dorongan untuk Hamzah membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri.

Sim juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan menerima RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada kementerian sama.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*