Serangan di balai polis Ulu Tiram : Lima sekeluarga ditahan semula bawah Sosma

Lima ahli keluarga lelaki yang menyerang balai polis Ulu Tiram minggu lalu kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Dia berkata kelima-lima mereka ditahan semula mengikut undang-undang keselamatan itu memandangkan perintah reman mereka berakhir hari ini.

Selain itu, penahanan semula dibuat susulan siasatan polis mendapati keluarga itu mempunyai ideologi dan fahaman radikal.

“Apabila polis panggil saksi dan jiran keluarga itu, kita dapati keluarga ini isolated dan tidak bercampur, selain anak-anak juga tidak tamat persekolahan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Razarudin berkata sebelum ini polis membebaskan dua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) tanpa syarat setelah mendapati mereka tidak mempunyai sebarang jaringan dan kaitan dengan mana-mana kumpulan berfahaman radikal.

Dalam kejadian serangan pada 2.54 pagi Jumaat lalu,, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, serta suspek yang berusia 21 tahun. Seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian berkenaan, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, dilaporkan parah, tetapi kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.

Razarudin berkata, selain siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Tambahan) kerana polis menemui “paip” yang boleh digunakan untuk membina pistol angin.

Mengulas lanjut, ketua polis negara itu memberitahu pihaknya akan meningkatkan aspek logistik dan keselamatan dari segi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pencahayaan di balai polis terpencil.

“Kadar kesiapsiagaan anggota di balai-balai akan diperketatkan selain Polis Diraja Malaysia akan menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan anggota,” katanya.

Sabtu lalu tujuh individu dilaporkan direman tujuh hari bagi membantu siasatan serangan berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lima daripada mereka adalah anggota keluarga suspek berusia antara 19 dan 62 tahun yang ditahan sejak minggu lalu, manakala dua pelajar IPT yang hadir di balai polis itu sebelum kejadian yang turut ditahan reman, telah dibebaskan tanpa syarat.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*