Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar disifatkan sebagai seorang yang peramah ketika bersama keluarga dan penduduk kampung.
Bagaimanapun, kakak sulungnya, Nur Azza Assyaqiren Azhar, 29, berkata, kebelakangan ini, arwah gemar menulis dalam kumpulan WhatsApp keluarga mengenai kematian.
“Arwah sebenarnya yang kerap WhatsApp dan membuat panggilan video bersama keluarga, hampir setiap hari. Namun, beberapa minggu akhir-akhir ini, beliau selalu menulis dan menghantar gambar mengenai kematian.
“Saya dah ahli keluarga lain pada awalnya berasa harian juga. Namun, sifat Allahyarham (Fahmi) yang suka bergurau dan sayang kepada keluarga, kami anggap ia sebagai nasihat,” katanya ketika ditemui di Jalan Kampung Poh Tambahan 1 Bidor di sini hari ini.
Katanya lagi, Allahyarham Fahmi memang bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis sejak kecil lagi.
“Beliau berusaha sendiri dengan menjalani temu duga, latihan fizikal sehingga terpilih. Sebaik sahaja ditawarkan bertugas di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, arwah berasa amat gembira.
“Walaupun gajinya tidak seberapa, beliau tetap menghulurkan duit kepada ayah, ibu dan atuknya tanpa gagal sepanjang lebih dua tahun bertugas di balai polis itu,” ujarnya.
Tambah beliau, kenangan terakhir berjumpa dengan arwah pada bulan Ramadan yang lalu.
Kosmo! melaporkan kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi mengorbankan dua anggota polis manakala seorang lagi mengalami kecederaan selepas premis tersebut diceroboh individu bertopeng.
Ahmad Azza merupakan salah seorang anggota yang terkorban selain Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang bertugas sebagai anggota prowler di balai sama.
Sementara itu, Ketua Kampung Poh, Ahmad Fadyil Abdul Maulud, 46, berkata, jenazah Allahyarham dijangka tiba di kampung itu pada pukul 10.30 malam ini.
“Solat jenazah akan diadakan di rumah keluarga sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Poh,” jelasnya.
Turut baca :
Leave a Reply