Bintang bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi difahamkan cuba dirisik sekurang-kurangnya tiga kelab terkemuka Iran untuk dibawa beraksi dalam saingan Liga Persian Gulf Pro.
Menurut sumber, salah satu daripada kelab terbabit menawarkan nilai kontrak secara pinjaman yang cukup lumayan buat Arif Aiman.
Difahamkan, kelab itu sanggup membayar sejumlah AS$300,000 atau bersamaan RM1.3 juta untuk tempoh pinjaman selama enam bulan.
“Memang ada tawaran daripada beberapa kelab Iran, sekurang-kurangnya tiga kelab yang amat berminat untuk membawa Arif Aiman bermain di sana (di Iran).
“Tawaran bukan biasa-biasa. Ada satu kelab itu tawarkan AS$300,000, kalau duit kita satu juta lebih. Tapi ada kelab lain juga tawar lebih tinggi.
“Tapi bukan senang nak bawa Arif Aiman kerana ia perlu mendapat persetujuan pihak kelab (JDT),” kata sumber itu.
Sebelum ini, kecoh di laman sosial apabila mengaitkan nama Arif Aiman dengan kelab Iran, Persepolis.
- Baca juga : Lulus lesen kenderaan perdagangan, RM3,500 setiap permohonan, 2 pengarah syarikat, pegawai agensi direman
Selain Persepolis, sebuah lagi kelab iaitu Tractor FC yang kini sedang menduduki tangga pertama saingan Liga Persian Gulf Pro turut dikaitkan dengan pemain sayap skuad Harimau Malaya itu.
“”Kelab Iran ini berminat sebab mereka terpegun dengan aksi lincahnya bersama JDT dalam saingan ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit) dan ketika beraksi di Piala Asia Qatar, Januari tahun lalu,” katanya.
Berdasarkan prestasi terkini Arif Aiman, kemungkinan agak sukar untuk JDT melepaskannya apabila sentuhannya amat ditagih terutama di pentas ACLE.
Leave a Reply