Sentuh isu 3R, Hadi disiasat Bukit Aman

Polis sedang menyiasat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang atas kenyataan dipercayai menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja).

Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, G S Suresh Kumar berkata, Hadi dalam kenyataan di Facebooknya Sabtu lalu mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan berdasarkan tafsiran penjajah menjunjung liberalisme dan kebebasan diamalkan negara Barat.

Beliau berkata, isu itu turut diulas dalam artikel diterbitkan sebuah portal pada tarikh sama.

“Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*