Seludup enam wanita Vietnam, pegawai Imigresen, tiga lelaki tidak mengaku salah

Seorang pegawai Imigresen antara empat lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup enam migran warga Vietnam di Pengkalan Hulu, Mac lalu.

Tertuduh, Abdul Hadi Mat Din, 42, bersama seorang lelaki warga Thailand, Sukree Awang, 48, serta dua lelaki tempatan, Teoh Boon Poh, 58, dan Chua Eng Keong, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Taiping, Noor Ruwena Md. Nurdin.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat lelaki itu didakwa telah menjalankan penyeludupan migran melibatkan enam wanita warga Vietnam di tempat letak kereta berbayar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada pukul 11.26 pagi, 9 Mac 2023.

Pertuduhan terhadap Abdul Hadi dan tiga lelaki bertindak sebagai transporter (pengangkut) itu dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala Shukree diwakili Muhamad Syah Azlan Abdullah sementara Abdul Hadi dan Boon Poh pula masing-masing diwakili Harpal Singh dan Eng Keong pula diwakili Mohamad Hafiz Jalaludin.

Terdahulu, Mohamad Nazreen memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu dalam tempoh sebulan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen namun Harpal memohon tarikh itu ditetapkan dalam tempoh dua minggu untuk mempercepatkan perbicaraan.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*