Selepas Selangor, Pulau Pinang batal keahlian darjah kebesaran Najib Razak

Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatal dan memansuhkan keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang dikurniakan kepada Datuk Seri Najib Razak berkuat kuasa hari ini.

Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, Najib dianugerahi DUPN yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama pada 2009.

“Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap beliau (Najib) atas beberapa pertuduhan.

“Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhi kepada beliau, keahlian beliau sebagai penyandang DUPN yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd Zakuan memaklumkan, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersetuju Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Menurut Mohd Zakuan, pembatalan dan pemansuhan keahlian itu selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*