Selepas dua kanak-kanak maut termakan keropok beracun, kini muncul kes kedua yang hampir sama

Selepas dua kanak-kanak maut akibat termakan keropok beracun, kini muncul pula kes kedua yang hampir sama.

Mohd Daynail Haikal Alias, 13, nyaris maut selepas dia termakan biskut yang dicampur dengan racun, Jumaat lalu.

Dalam kejadian di Kampung Dadong, Kemaman, mangsa dibawa ke sebuah klinik sebelum dia pengsan dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, racun itu sebenarnya bertujuan untuk membunuh kera.

“Sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakannya dikatakan ke sebuah kebun pisang dan kelapa untuk memancing kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Mangsa dikatakan menemui dan memakan sekeping biskut yang dicampur racun oleh pemilik kebun bagi tujuan membunuh kera yang diikat pada sebatang kayu di kebun itu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4 petang, Ahad.

Kes disiasat di bawah seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki kritikal selepas makan keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Ahad lalu.

Mangsa pertama, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, meninggal dunia pada pagi Rabu.

Adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia pada tengah hari, Jumaat.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*