Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin, berkata menyebat kesalahan khalwat di khalayak ramai hanyalah pilihan penguasa semata, bukan hukum Allah dan rasul.
Menurut beliau, ia di bawah takzir yang merupakan ijtihad pemerintah ‘yang mungkin salah dan betul’.
“Maka, membantah hukuman itu hanyalah membantah keputusan pemerintah, bukan membantah ajaran Islam,” katanya di Facebook.
Asri menjelaskan bahawa bagi kes khalwat, tiada penetapan syarak menyuruh pelaku disebat di khalayak ramai.
Bahkan, katanya, menyebat kes seperti itu di khalayak ramai dibimbangi bercanggahan dengan kehendak syarak yang menyuruh menutup keaiban peribadi individu.
Pada Jumaat, seorang lelaki menjadi individu pertama disebat di khalayak atas kesalahan khalwat apabila menjalani hukuman itu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Terengganu.
Seramai 90 individu termasuk exco kerajaan negeri menyaksikan pelaksanaan sebatan.
Khamis lalu, kerajaan Terengganu dilaporkan berkata ia komited menjalankan hukuman sebat di khalayak ramai walaupun mendapat kritikan meluas.
Exco Khalil Abdul Hadi berkata ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk mengukuhkan undang-undang syariah di Terengganu.
Baca juga :
Leave a Reply