SAYUNYA kisah anak kecil ini, maut di tangan penjaga yang diamanahkan oleh ibu bapanya. Usianya baharu tiga tahun namun terpaksa berdepan kekerasan, dipercayai angkara kenalan bapa dan pembantu rumahnya.
Harapkan pagar, pagar makan padi. Demikianlah peribahasa yang menceritakan keadaan kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia dipercayai didera di Johor Bahru ini. Penjaga yang menjadi orang kepercayaan ibu bapa mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Lebih memilukan, ibu bapa kanak-kanak itu terpaksa meninggalkan anak mereka demi mencari rezeki. Bapa kanak-kanak itu bekerja di Singapura manakala ibunya di Yong Peng, Johor.
Berikut 10 fakta berkaitan:
1-Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kejadian berlaku di rumah rakan lelaki bapa mangsa berusia 28 tahun, manakala pembantu rumah wanita warga Indonesia berusia 40 tahun.
2-Kanak-kanak malang itu dan adiknya yang berusia setahun berada dalam jagaan suspek berkenaan setelah bapanya meminta bantuan daripada lelaki terbabit.
3-Mangsa dan adiknya jagaan suspek yang merupakan seorang jurujual sejak tiga bulan lepas.
4-Ibu bapa mangsa meninggalkan dua anak mereka di rumah suspek dengan bayaran RM2,800 sebulan sejak tiga bulan lepas.
5-Hasil siasatan awal polis mendapati beberapa kecederaan pada tubuh kecil itu antaranya lebam dan luka. Bagaimanapun laporan menyeluruh hanya akan diketahui selepas bedah siasat.
6-Menurutnya Kamarul Zaman, siasatan awal mendapati suspek lelaki itu didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
7-Pembantu rumah itu pula telah ditahan di kediaman lelaki berkenaan pada tengah hari.
8-Kes berkenaan masih dalam siasatan. POlis akan mengambil keterangan daripada beberapa pihak dengan turut dibantu oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian.
9-Kamarul Zaman menjelaskan adik kanak-kanak berkenaan yang yang berusia setahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
10-Jasad anak kecil dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat.
Lazimnya kanak-kanak berusia tiga tahun sedang aktif menerokai pelbagai perkara dan mempunyai imaginasi yang tinggi. Warga maya meluahkan kesedihan dan mendoakan agar kematian si kecil itu diadili sewajarnya.
– “Kes dera tidak pernah habis, kanak-kanaklah yang jadi mangsa.”
– “Selagi tiada tindakan tegas. Moga pelaku diberi balasan setimpal.”
– “Semoga kes disiasat sewajarnya dan pelaku yang didapati bersalah diberi hukuman setimpal.”
Leave a Reply