“Saya terpaksa ‘block’ nombor telefon dia…” Wanita kecewa rakan karib suami ajak kahwin ketika suami sedang sakit

“Saya terpaksa ‘block’ nombor telefon dia…” Wanita kecewa rakan karib suami ajak kahwin ketika suami sedang sakit.

Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila rakan karib suaminya sanggup mengajaknya berkahwin ketika suaminya sedang terlantar sakit.

Menurut sebuah hantaran di laman Facebook, wanita yang tidak diketahui namanya itu mengakui dia berasa kecewa dan tertekan dengan tindakan sahabat baik suaminya itu.

“Saya sudah berkahwin dengan suami, juga sahabat baik saya dunia akhirat selama dua tahun. Namun, pada tahun lepas, rumah tangga kami diuji apabila suami disahkan menghidap kanser sarkoma Ewing tahap empat.

“Suami menjalankan rawatan seperti yang dijadualkan. Tetapi, pada suatu hari, kami diberitahu tumor sudah merebak ke bahagian tulang belakang dan menekan saraf tunjang. Akibatnya, suami tidak boleh berjalan seperti biasa,” katanya.

Bagaimanapun, wanita tersebut berhadapan dengan dilema apabila rakan karib suaminya tiba-tiba mengajaknya untuk berkahwin atas alasan suaminya kini sudah tidak mampu berjalan, apatah lagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami.

“Sejujurnya, saya memang tak mahu kahwin lain. Jadi, saya terpaksa ‘block’ nombor telefon dan juga media sosial kawan suami. Namun, dia tidak mengalah. Dia guna pula nombor telefon lain untuk menghubungi saya.

“Sehingga hari ini, saya masih merahsiakan hal ini daripada pengetahuan suami. Saya tidak mahu dia sedih dan saya akan setia menjaga suami hingga ke hujung nyawa. Moga Tuhan lindungi kami sekeluarga,” katanya.

Kini, hantaran tersebut telah menerima 1,500 tanda suka dan 131 komen.

Meninjau ruangan komen, orang ramai rata-ratanya bersimpati dan mendoakan yang terbaik untuk wanita tersebut.

“Inilah namanya orang yang mencari kesempatan dalam kesempitan. Nasib baik puan masih setia. Moga puan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda,” kata Salbiha.

“Tidak perlu berahsia dengan pasangan. Andai satu hari nanti kita difitnah, sekurang-kurangnya suami tahu cerita sebenar,” kata Humaira.

“Kawan makan kawan. Semoga puan terus kuat dan sayang suami walau apa jua dugaan yang mendatang,” kata Iman.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*