“Saya tercengang! 6 sekeluarga kongsi detik cemas berdepan suspek kes tembak pusat beli-belah di Setia City Mall

BAPA kepada enam sekeluarga berkongsi kisah berdepan detik mencemaskan selama 45 minit apabila suspek tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor menahan mereka dengan mengacukan pistol ketika hendak melarikan diri.

Pemandu Ativa berusia 30-an yang enggan dikenali itu memberitahu, lelaki bersenjata itu tiba-tiba muncul di sebelah mereka di kawasan parkir dan segera mengacukan pistol ke arah mereka selepas insiden tembakan pada Sabtu.

“Saya dan keluarga berdepan detik mencemaskan selama 45 minit di dalam kereta bersama lelaki itu, yang mengacu pistol dan mengarah saya untuk memandu dan beredar dari pusat beli-belah di Setia Alam pada hari kejadian.

“Saya tercengang. Lelaki itu turut melepaskan tembakan ke arah dinding untuk menunjukkan bahawa itu pistol betul,” katanya dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro, pada Isnin.

Ketika kejadian, mangsa memaklumkan dia bersama isteri dan empat anak menjamu selera di sebuah restoran di pusat beli-belah tersebut sebelum keadaan tiba-tiba bertukar kecoh.

“Pengawal keselamatan mengarahkan kami semua segera keluar. Ketika itu, kami tidak tahu apa sebenarnya berlaku.

“Saya segera membawa keluarga keluar, dan ketika hendak ke tempat parkir, saya terdengar bunyi letupan,” katanya.

Mangsa berkata, dia melihat banyak kereta bergerak laju dan ketika mereka sekeluarga hendak masuk ke dalam kereta mereka, lelaki bersenjata itu secara tiba-tiba muncul dan mengarahkan mereka masuk ke dalam kereta.

“Saya minta dia simpan pistol supaya anak-anak tidak takut,” katanya sambil menambah suspek duduk di tempat duduk belakang.

Dia dan keluarganya kemudian menghabiskan masa selama 45 minit di dalam kereta bersama lelaki bersenjata itu sebelum diarahkan ke laluan keluar sebelum turun di tepi lebuh raya.

“Dia berada dalam kereta kira-kira 45 minit dan sebelum menghilangkan diri, dia mengambil kad memori pada dashcam (kamera papan pemuka) kereta,” katanya.

Dilaporkan, polis mengenal pasti lelaki bersenjata itu sebagai warga tempatan berusia 30-an, yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah.

Suspek dipercayai tiba di pusat beli-belah itu kira-kira pukul 10 malam dan mendekati seorang pekerja pembersihan lelaki sebelum melepaskan tembakan.

Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan di pusat beli-belah itu sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Pekerja pembersihan lelaki itu mengalami kecederaan di kaki dan punggung tetapi berada dalam keadaan stabil.

Baca juga :

Berang diberi mi segera terlalu sedikit, mangsa banjir tampar ketua kampung

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*