Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, kereta Perodua Ativa yang dipandu pegawai kanan polis melanggar motosikal ditunggang seorang pelajar dari belakang sebelum menggilis badan mangsa, Disember tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke-10 iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun berkata, dia melihat tayar kanan hadapan dan belakang Ativa menggilis antara perut dan dada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Saksi itu berkata, dia berada di bahu jalan tidak jauh dari lokasi kejadian bersama empat rakan lain untuk pulang selepas waktu sekolah.
“Saya melihat seorang senior sekolah saya yang dikenali sebagai Zaharif sedang rem (memulas pendikit) motosikalnya jenama Yamaha LC beberapa kali.
“Apabila Zaharif rem motosikalnya, saya dengar bunyi ekzos yang agak kuat. Saya tidak tahu kenapa atau apa tujuan dia rem motosikal.
“Tiba-tiba saya nampak kereta Ativa berhenti sebelah motosikal Zaharif. Semasa kereta Ativa berhenti, tidak lama selepas itu saya dengar motosikal Zaharif bergerak meninggalkan kereta Ativa itu.
“Tumpuan saya kembali kepada Zaharif selepas rakan-rakan saya melihat ke arah kawasan masjid (Masjid Muhammad Al-Fateh).
“Semasa itu saya nampak kereta Ativa mengekori motosikal Zaharif dari belakang,” katanya ketika membacakan pernyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.
Saksi itu kemudian melihat motosikal Zaharif dan kereta Ativa bergerak melepasi bonggol jalan di kawasan masjid dalam keadaan kedua-dua kenderaan itu memecut.
Setibanya sebelum persimpangan Jalan Taman Jati 1-Jalan Pekeliling Meru Indah, katanya, Zaharif memperlahankan motosikalnya dan kelihatan lampu brek belakang motosikal menyala.
“Saya nampak kereta Ativa melanggar Zaharif dari belakang. Kereta Ativa tidak berhenti sebelum perlanggaran.
“Zaharif tercampak ke belakang dan terjatuh ke atas jalan. Saya lihat tayar hadapan serta belakang sebelah kanan kereta Ativa menggilis di bahagian antara perut dan dada Zaharif.
“Kedudukan Zaharif semasa digilis adalah bahagian kepala berada di bawah kereta. Saya juga melihat kereta terbabit terus berhenti di bahagian bahu jalan berhadapan sekolah,” katanya.
Selepas melihat kejadian itu, saksi berkenaan bersama rakan bergergas ke arah mangsa untuk memberi bantuan.
Menurutnya, seorang lelaki turun dari Perodua Ativa dan dalam nada marah menyuruh mereka mengangkat Zaharif untuk dibawa ke balai polis.
Bagaimanapun, saksi itu tidak bersetuju kerana risaukan keselamatan organ dalam mangsa.
“Selepas itu, saya mengutip barang-barang sekolah Zaharif seperti buku dan helmet (topi keledar) untuk dibawa ke tepi. Pada masa itu saya tak perasan Zaharif diangkat.
“Selepas mengutip dan bawa barangan Zaharif ke tepi, saya melihat Zaharif dalam keadaan separuh sedar dan tidak bermaya dibawa ke tepi oleh beberapa orang yang saya tidak pasti siapa kerana ramai orang di sana,” katanya.
Saksi itu kemudian melihat Ativa berkenaan bergerak ke arah berdekatan Zaharif dan lelaki itu membuka pintu belakang kereta untuk membawa mangsa ke balai.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai yang berada di situ menghalang suspek berbuat demikian kerana lelaki itu mahu membawa mangsa ke balai dan bukannya hospital.
“Selepas itu, lelaki itu menutup pintu keretanya dan kembali melihat keadaan Zaharif sehinggalah kakak dan bapa Zaharif tiba di lokasi.
“Lelaki itu kemudiannya masuk ke dalam kereta dan beredar,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember 2023.
Pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dalam pemeriksaan utama dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya, Afzainizam Abdul Aziz, saksi itu berkata, mangsa boleh mengawal motosikalnya ketika memperlahankan kenderaan itu sebelum tiba di simpang.
Baca juga :
- Awas! Berdengkur semasa tidur boleh jadi punca kematian, ini penjelasan Dr Malar
- Hasrat pemuda nak hadiahkan ibu kaki palsu jika menang Calpis Soda OIAM buat juri sebak
- Maut jatuh tingkat 16 di George Town, remaja perempuan disyaki bergaduh dengan kekasih
Apabila rakaman video memaparkan pergerakan dan perlanggaran antara Ativa dengan Yamaha LC mangsa ditunjukkan di mahkamah, saksi mengesahkan kedua-dua kenderaan dalam video terbabit sepadan dengan apa yang dilihat di lokasi kejadian.
Sementara itu, peguam M Athimulan memohon kebenaran mahkamah bagi pihak pembelaan ke lokasi kejadian sebelum memulakan prosiding pemeriksaan balas.
Ketika ditanya hakim mengenai jarak ke lokasi, peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid menyatakan 10 minit untuk pergi dan 10 minit untuk kembali ke mahkamah, tanpa mengambil kira masa untuk melawat tempat kejadian.
Membuat pertimbangan saksi remaja itu memberi keterangan sejak pagi dan waktu menghampiri 3.30 petang, hakim memutuskan untuk menyambung perbicaraan pada pagi esok.
Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam Athimulan, Mior Faridalathrash dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Leave a Reply