‘Sapu’ elaun Covid-19 petugas barisan hadapan, timbalan pengarah hospital didakwa

‘Sapu’ elaun Covid-19 petugas barisan hadapan, timbalan pengarah hospital didakwa. Timbalan Pengarah (Pengurusan) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kangar hari ini atas 10 pertuduhan menipu petugas kesihatan berhubung wang bantuan elaun Covid-19, tiga tahun lalu.

Menurut Berita Harian, tertuduh, Norhisham Hassan, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memperdaya 10 kakitangan HTF untuk mempercayai bahawa mereka sudah menerima bantuan ‘one-off’ elaun Covid-19 Kerajaan Negeri Perlis bagi 2020.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kepada petugas barisan hadapan HTF dan secara curang memperdaya mereka untuk menandatangani dokumen rekod mengesahkan penerimaan wang bantuan sebanyak RM400 seorang.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di HTF antara 27 hingga 29 April 2020 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Rehab mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan perlu melaporkan diri setiap bulan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kangar.

Namun begitu, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya wang jaminannya itu dikurangkan memandangkan dia mempunyai komitmen lain selain pendapatan suaminya yang bertugas sebagai pembantu operasi agak kecil dan tiada barang kemas untuk digadai.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh membayar jaminan denda sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM40,000 bersama seorang penjamin.

Norsalha turut menetapkan 7 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Ismuni Bohari ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengikut segala prosedur ditetapkan sebagai penjawat awam.

“Saya tidak dapat maklumat rasmi daripada pihak SPRM berhubung kes ini.

“Sekiranya dapat, kita akan ikut sepenuhnya tatacara pengurusan tatatertib penjawat awam,” katanya menurut laporan Berita Harian.

‘Sapu’ elaun Covid-19 petugas barisan hadapan, timbalan pengarah hospital didakwa

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*