Sany bidas Wan Saiful : Pantau MP PN dulu sebelum tuding jari ke PH

Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan memulangkan paku buah keras kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berhubung tindak-tanduk beberapa ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Ia selepas Wan Saiful berkata tindak-tanduk beberapa ahli parlimen PH yang “menjerit-jerit menghalang perbahasan” sebagai membimbangkan.

Namun Sany berkata sebelum Wan Saiful perlu memerhatikan tingkah laku wakil rakyat PN terlebih dahulu sebelum menuding jari ke pihak PH.

“Saya minta Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor supaya melihat terlebih dulu tingkah laku, akhlak dan adab ahli Parlimen pembangkang khususnya Arau dan Pendang.

“Dua orang ini bagi saya ‘cukup-cukup berakhlak dan beradab’ ketika berucap di Dewan Rakyat,” katanya secara sinis, merujuk kepada Shahidan Kassim (Arau) dan Awang Hashim (Pendang).

“Saya juga meminta Wan Saiful supaya meneliti ucapan ketua pembangkang yang berterusan menyerang peribadi perdana menteri di Parlimen, jadilah pembangkang yang matang dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Wan Saiful Wan Jan

Wan Saiful dalam kenyataan semalam berkata ahli parlimen kerajaan bertindak keterlaluan terhadap pihak lain sama ada di dalam Dewan Rakyat atau di luar parlimen.

Dia yang merupakan ketua penerangan Bersatu berkata Dewan Rakyat sepatutnya menjadi tempat dasar digubal, serta cadangan kerajaan dibahas secara rasional dan matanG.

“Dalam Dewan (Rakyat), mereka menjerit-jerit menghalang perbahasan, di luar Dewan mereka menyaman kiri dan kanan untuk menghalang kritikan,” katanya.

Dia merujuk kepada hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada 19 Dis lalu yang menyaksikan pertengkaran membabitkan blok kerajaan dan pembangkang.

Antaranya membabitkan kenyataan Shahidan yang menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak seharusnya dilibatkan dalam usul percaya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan Sany yang kemudiannya membalas, Anwar cukup berani menguji keabsahannya di parlimen dan berbeza sama sekali berbanding pemimpin PN, Muhyiddin Yassin, suatu ketika dulu.

Beberapa perkataan kasar turut keluar dari mulut Sany sehingga mendorong speaker, Johari Abdul, terpaksa campur tangan untuk mengawal keadaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*