Salahuddin yakin gelombang ‘merah’ di ibu negara merebak ke selatan Johor. Ribut dan banjir kilat melatari kempen pilihan raya umum (PRU) ke-15 Pakatan Harapan di lima kerusi di Johor yang dimenangi mereka pada 2018.
Terletak di sepanjang Selat Johor, lima kawasan itu yang membentuk Jalur Selatan Johor terdiri daripada Johor Bahru, Pulai, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.
BN yang memenangi pilihan raya negeri (PRN) pada Mac tahun ini, berharap meneruskan momentum untuk mengukuhkan kedudukan sebagai kerajaan negeri.
Bagaimanapun, pemimpin PH, serta penyandang di Selatan Johor, percaya bahawa gelombang menyerupai “tsunami politik” yang menumbangkan kerajaan negeri pada PRU ke-14, bersama-sama dengan 18 daripada 26 kerusi parlimen, telah meningkat menjelang hari pengundian esok (Sabtu).
‘Ceramah Mega’ PH yang diketuai oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli di Johor Bahru pada malam Rabu menyaksikan kerumunan lebih 1,000 orang, hanya sehari selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim menghimpunkan ribuan penyokong di Batu, Kuala Lumpur.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dalam ucapannya malam itu berkata gelombang Anwar di ibu negara akan tiba di Johor bersama-sama pengundi yang pulang mengundi, yang sebelum ini tidak pulang mengundi pada PRN.
“Jumlah yang hadir malam ini di Johor Bahru adalah luar biasa. Saya ingin memberitahu anda semua bahawa rakyat Malaysia sekali lagi telah membentuk gelombang yang memberikan kita keyakinan dalam PH,” katanya.
“Kita boleh lihat Jelajah PH yang dipimpin oleh Anwar. Di Kuala Lumpur orang ramai berkata ia seperti ‘histeria massa’ yang mengalu-alukan Anwar. Apakah maksudnya?
“Kami percaya rakyat akan memberi peluang kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri akan datang,” kata Pengerusi PH Johor itu.
Walaupun tanpa kehadiran Anwar, penyokong yang berkumpul bersorak setiap kali pengerusi PH itu disebut sebagai bakal perdana menteri, selain ejekan apabila rujukan serupa dibuat kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Salahuddin akan cuba mempertahankan kerusi parlimen Pulai dalam pertarungan ketiga dengan Timbalan Ketua BN Johor Nur Jazlan Mohamed, menjadikannya pertandingan paling berprofil tinggi di Selatan Johor. Turut bertanding untuk Pulai ialah Loh Kah Yong sebagai wakil PN (Gerakan).
“Terus terang, sudah tentu sebagai penyandang saya berada di sini sebelum PRU15. Beberapa bulan sebelum pilihan raya, semuanya kelihatan ‘cool’ (tenang). Kami tidak nampak gelombang, tidak ada pergerakan ketika kami berkempen, malah sehingga permulaan kempen ini,” kata Salahuddin kepada Malaysiakini dalam satu wawancara awal pada Rabu.
“Ia tidaklah teruk sehinggakan mereka menolak saya, tetapi sambutannya tidaklah ‘hangat’, mereka hanya tersenyum dan sebagainya.
“Tetapi selepas beberapa hari, saya melihat bagaimana pengundi Cina, antara 41 peratus di Pulai, mula menjerit menyokong saya, meminta untuk bergambar dengan saya.
“Jadi saya cukup yakin tahap sokongan Cina dan India kembali seperti yang saya rasakan pada PRU ke-14,” tambahnya.
Calon PM jadi persoalan utama
Bagi segmen pengundi Melayu yang lebih besar, Salahuddin berkata PH hanya memerlukan tambahan 15 peratus daripada kalangan bekas pengundi BN, di samping penyokong sedia ada dan pengundi “atas pagar” – ramai yang akan menjadi pengundi kali pertama.
“Jumlah undi yang PH terima semasa pilihan raya Johor, itulah jumlah undi yang akan terus kita perolehi. Jika peratusan keluar mengundi lebih daripada 70 peratus, kita pasti boleh menang.
“Kita boleh menang di semua kerusi yang kita menangi pada 2018, dengan penambahan beberapa kerusi lain seperti Ayer Hitam,” katanya.
Jangkaan Salahuddin itu bukan tidak berasas.
Meskipun dilihat bangkit pada PRN Mac lalu, BN sebenarnya hanya menerima sekitar 43 peratus undi popular.
Dan sementara jumlah pengundi dalam PRN – sekitar 1.5 juta – adalah lebih kurang sama seperti pada 2018, peratusan keluar mengundi adalah lebih renda di kawasan selatan.
Imbasan sekali lalu keputusan pengundian menunjukkan bahawa terdapat kira-kira kurang 14,000 pengundi masing-masing di Johor Bahru dan Pulai berbanding 2018, manakala jumlah pengundi di Pasir Gudang berkurangan sekitar 1,000.
Ini walaupun terdapat hampir dua kali ganda bilangan pengundi berdaftar di tiga kawasan parlimen ini – yang sama ada mendaftar selepas 2018 atau secara automatik ditambah ke dalam daftar pemilih selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik pada penghujung 2021.
Tidak seperti pada PRU14 ketika PH menumbangkan BN dalam kempen yang sebahagian besarnya disasarkan kepada skandal 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, kali ini, penyandang PH bagi kerusi Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata tidak ada watak “penjahat” tertentu dalam fikiran pengundi.
Justeru, katanya persoalan mengenai masa depan negara di bawah perdana menteri akan datang menjadi pertimbangan utama, selain kebolehan calon menangani isu tempatan di Johor Bahru dan kawasan sekitar.
“Sebagai contoh, anda mungkin bersetuju atau tidak bersetuju, tetapi saya dapat merasakan ada orang yang mengatakan mereka bukan hanya memutuskan sama ada untuk memberi mandat kepada saya atau tidak, tetapi mereka memikirkan siapa yang boleh menjadi orang terbaik untuk memimpin negara.
“Saya berjumpa dengan satu kumpulan yang bukan dari parti saya, tetapi mereka kata pilihan raya ini mereka akan memberi peluang kepada Anwar,” kata Akmal semasa wawancara pada Selasa.
Di lapangan, Akmal berkata penyandang PH memanfaatkan kedudukan mereka untuk mengadakan kempen yang lebih disasarkan berbanding pemesejan massa atau acara berskala besar.
Pada masa sama, dia mengakui terdapat batasan untuk mengukur tahap sokongan pengundi luar kawasan.
“Ia tidak semudah pada 2018 di mana pada asasnya anda boleh ketengahkan watak “penjahat” dengan mudah (dalam kempen).
“Dalam pilihan raya ini, ia memerlukan pendekatan atau hujah yang lebih bernas untuk dapat mengaitkan seberapa banyak kumpulan atau segmen dalam masyarakat. Tidak akan ada satu isu pun yang boleh memenangi anda untuk pilihan raya,” kata bekas ketua pemuda PKR itu.
Perasaan berbeza
Bagi BN Johor, mereka percaya perubahan ini memberi manfaat kepada mereka.
Hadir menyokong Nur Jazlan dari BN pada perhimpunan anjuran Dewan Pemuda Johor pada malam Selasa, Ketua MCA Pulai Wong You Fong berkata terdapat isu nasional berbeza yang dimainkan sekarang berbanding pada 2018 yang menyaksikan peralihan besar-besaran sokongan bukan Melayu terhadap PH termasuk di Johor.
“Kini kami merasakan sokongan lebih baik daripada 2018, tetapi sudah tentu kita tidak dapat meramalkan keputusannya. Pada masa itu perasaannya berbeza.
“Kali ini terdapat ramai pengundi yang belum membuat keputusan dan semua parti politik cuba meneka bagaimana mereka akan mengundi,” kata bekas ketua Wanita MCA Johor itu.
Bercakap kepada golongan belia, Nur Jazlan menggesa mereka memikirkan masa depan negara, khususnya untuk membandingkan perkembangan semasa di Johor dengan negara jiran Singapura di mana beribu-ribu orang mencari peluang yang lebih baik di seberang tambak.
Bekas ahli parlimen Pulai tiga penggal itu adalah calon tertua BN di Selatan Johor yang turut menampilkan dua muka baru, arkitek Johan Ropi berusia 42 tahun di Johor Bahru dan Noor Azleen Ambros, 37 tahun di Pasir Gudang.
Salahuddin dan yang lain dalam jejak kempen PH mengaitkan jangkaan gabungan itu untuk mengekalkan penyokong bukan Melayu dan memperoleh tambahan undi Melayu, menolak sebarang kemungkinan untuk Ahmad Zahid naik sebagai perdana menteri, naratif yang turut dimainkan oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.
Salahuddin juga berkata kekuatan individu calon akan memainkan peranan yang lebih kecil dalam mempengaruhi keputusan pengundi dalam pilihan raya di mana terdapat faktor nasional yang lebih besar dipertaruhkan.
Sebaliknya, pemimpin BN Johor berkempen atas platform “kestabilan politik” telah membentangkan visi mereka di mana kerajaan negeri ditadbir parti sama yang menguasai kerajaan persekutuan pimpinan BN di bawah kepimpinan Ismail Sabri.
Leave a Reply