Salahuddin : Tiada kenaikan harga minyak masak botol sehingga 7 Mei

Harga runcit minyak masak sawit tulen botol satu hingga lima kilogram tidak akan dinaikkan bagi tempoh 8 April hingga 7 Mei depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, harga runcit maksimum bagi minyak masak kelapa sawit tulen botol dikekalkan RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg) RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg).

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri bagi memastikan sambutan Ramadan dan Syawal nanti tidak terjejas dengan sebarang isu kenaikan harga yang tidak munasabah.

Menurutnya, selain pelbagai inisiatif di bawah Payung Rahmah, turut diteruskan adalah peranan Kerajaan menerusi KPDN yang menetapkan harga runcit maksimum Maksimum bagi minyak masak tulen kemasan botol bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 5) 2023.

“Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti iaitu denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu dan denda sehingga RM500,000 bagi syarikat,” katanya.

Dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini juga, Salahuddin memberitahu terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah secara umumnya untuk bulan Mac berbanding bulan sebelumnya yang telah melepasi RM4,000.00 per tan metrik.

“Purata harga minyak sawit mentah untuk bulan Mac 2023 adalah RM4,139 per tan matrik berbanding RM3,908 per tan matrik pada bulan Februari 2023.

“Kenaikan ini sekali gus akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen kemasan botol berdasarkan kepada konsep harga siling bergerak,” katanya.

Sehubungan itu, pengekalan harga runcit minyak masak sawit kemasan botol melibatkan pembayaran subsidi kepada pengilang-pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik (reimbursement) mengikut bilangan tuntutan sebenar.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pulai itu, kerajaan membayar subsidi sebanyak RM7 juta sebulan bagi memastikan harga minyak tidak naik.

“Minyak bersubsidi bagi minyak paket kekal dengan harga RM2.50 setiap kilogram,” tambah Salahuddin lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*