Salahuddin perjelas punca ‘ikan rakyat naik harga’

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui berlaku kenaikan harga ikan di beberapa negeri, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata keadaan itu berpunca akibat permintaan tinggi ketika cuaca tidak menentu di pantai timur Semenanjung.

Bagaimanapun, katanya, KPDN belum menerima aduan rasmi mengenai kenaikan harga ikan yang didakwa mencecah hingga 40 peratus, mulai selepas Aidilfitri lalu.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan, pegawai dan penguat kuasa KPDN sentiasa memantau harga bekalan bagi mengelak pencatutan, selain peniaga tidak patuh kepada harga ditetapkan.

“Kita dapati berlaku permintaan ikan yang tinggi ketika cuaca di pantai timur yang orang Kelantan panggil ‘laut berangin’ atau cuaca tidak menentu.

“Jadi, memang ada kenaikan beberapa harga ikan, namun kita dapati dalam dua, tiga hari ini keadaan kembali stabil. Ada barang seperti sayuran dan ikan memang bergantung kepada keadaan cuaca dan bekalan kadang-kadang tinggi.

“Tetapi faktor ini hanya sementara dan ia turun dalam tempoh masa tertentu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia Edisi Ke-13 2023.

BH Jumaat lalu melaporkan cuaca panas dan ribut di laut menjadi punca bekalan ikan tempatan kurang sehingga harga hasil laut itu di pasaran Bachok, Kelantan naik antara RM2 hingga RM4 sekilogram (kg) sejak dua minggu lalu.

Tinjauan di Pasar Besar Siti Aishah, Jelawat, mendapati beberapa jenis ikan mengalami kenaikan harga, antaranya ikan selayang naik daripada RM10 kepada RM12kg, diikuti kembung naik daripada RM14 kepada RM18kg.

Harga ikan tongkol pula naik daripada RM10 kepada RM12kg, harga kerisi daripada RM10 kepada RM14kg dan selar daripada RM20 kepada RM24kg.

Mengenai isu bekalan ikan, Salahuddin berkata, ia perlu dirujuk kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang memiliki bidang kuasa bagi menangani masalah berkenaan.

“Dia (KPKM) membekalkan, KPDN hanya memantau harga supaya tidak berlaku pencatutan, jualan tidak mengikut harga sepatutnya

“Bagaimanapun kita memantau harga barang keperluan rakyat ini setiap hari,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*