Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan pertemuan dengan semua syarikat telekomunikasi negara, minggu depan bagi membincangkan mengenai kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan mereka ketika ini.
Menterinya Salahuddin Ayub berkata langkah itu dibuat susulan KPDN kerap menerima aduan daripada pengguna bukan sahaja di luar bandar tetapi juga di kawasan bandar mengenai kesukaran mendapatkan akses capaian Internet dan gangguan talian tetap.
“Misal saya, pelanggan sebuah syarikat lebih 20 tahun, tetapi gangguan dari segi panggilan kita terima, bila bercakap talian terputus. Kemudian kita ditawarkan dengan Wifi tidak bermutu, pakai panggilan WhatsApp pun sama juga.
“Mereka perlu jawab persoalan dan aduan yang rakyat buat ini. Saya harap perkara ini dapat kita selesaikan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli di sini, hari ini.
Berhubung perkhidmatan Touch ‘n Go (TNG), Salahuddin berkata KPDN memberi tempoh kepada syarikat pengendali TNG sehingga awal Mac depan bagi menyelesaikan beberapa aduan yang dibangkitkan pengguna, sebelum ini.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata tempoh yang diberikan itu relevan untuk pihak syarikat pengendali memperbaiki sistem sedia ada, sebelum mereka dipanggil semula untuk dikenakan tindakan sekiranya tiada perubahan dibuat dalam tempoh yang diberikan.
“Saya sangat prihatin dengan isu kad NFC (Komunikasi Medan Dekat) TNG RM10 yang sukar didapati (di pasaran) tetapi kad dengan harga RM40 ada pula. Saya telah minta pihak TNG buat (penjualan) lambakan segera terutama di stesen minyak lebuh raya atau di tempat yang perlu.
“Saya akan tinjau dalam perjalanan balik ini atau tiga hingga empat hari ini dengan singgah di mana-mana dan saya akan tanya ada atau tidak stok kad itu kerana semua pihak kena menyenangkan rakyat bukan susahkan rakyat dan rakyat amat memerlukan (kad itu),” katanya.
Menurut beliau, KPDN pada masa sama mengalu-alukan sebarang aduan berhubung kegiatan penjualan kad NFC di pasaran pada harga berlipat kali ganda oleh individu tidak bertanggungjawab.
Kad NFC membolehkan pengguna membuat tambah nilai pada bila-bila masa dan di mana-mana menggunakan aplikasi TNG eWallet yang terdapat di peranti mudah alih selain, pengguna tidak dikenakan sebarang surcaj apabila tambah nilai dilakukan.
- Turut baca : PM Anwar ingatkan pemimpin jangan susahkan rakyat
Leave a Reply